Sunday 4 August 2013

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI.....

Menjelang bulan Syawal Tahun Hijrah 1434, yang tak lama lagi akan tiba, sudah pasti pelbagai persiapan sedang kita semua lakukan untuk menyambut bulan mulia itu dan meraikan Hari Raya Aidilfitri Tahun Masehi 2013. Masing-masing sudah pasti sibuk membersihkan rumah dan peralatannya di samping membuat kuih muih dan juadah untuk jamuan tetamu pada hari itu nanti. Ada juga yang sibuk memesan / menempah kuih muih daripada pakar-pakar masakan. Tidak kurang juga yang membeli secara terus daripada penjual @ "on-line" melalui internet sambil menyahut seruan teknologi komunikasi zaman siber yang canggih sekarang ini.

Melalui post ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan saudara mara, handai taulan dan pembaca blog dengan menceritakan sambutan Hari Raya tahun lepas (1433H / 2012M ). 

Pada 1.9.2012 ( Sabtu ) saya sebagai salah seorang AJK Persatuan Pandu Puteri Guild Malaysia Cawangan Pahang telah sampai giliran untuk menguruskan majlis jamuan di rumah saya, dengan tujuan bukan sahaja untuk meraikan ahli-ahli persatuan tersebut tetapi juga kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga sekelian. Di samping itu diadakan juga majlis tahlil buat Allahyarhamah Pn Hjh Kamariah Aman, Bendahari Persatuan yang telah berpulang ke rahmatullah pada bulan Ramadhan dan arwah kaum keluarga yang telah meninggal dunia. Seterusnya diadakan bacaan doa selamat dan kesyukuran menyambut kedatangan Hari Raya. Aturcara yang bermula mulai 10 pagi dan berakhir jam 4 petang itu berlarutan sehingga malam memandangkan ada jemputan yang tidak berpeluang hadir pada siang hari berkenaan. Maklum sajalah masih ada yang mengadakan "Majlis Rumah Terbuka " pada hari hujung minggu yang sama. Saya dan keluarga dengan segala rendah hati mengalu-alukan dan menyambut kehadiran semua tetamu yang sudi hadir. Kami berharap tetamu yang hadir gembira sepanjang majlis di kediaman saya pada hari berkenaan. Jika terdapat sebarang kekurangan melalui blog ini saya sekali lagi memohon berbanyak maaf. Yang baik datangnya daripada Allah swt sementara yang buruk datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri.

Acara yang berlangsung pada majlis berkenaan adalah seperti aturcara berikut :

10.00 pagi : 
Ketibaan ahli-ahli persatuan Pandu Puteri Guild, Kumpulan Marhaban dan tetamu jemputan
Ucapan aluan tuan rumah dan Pengerusi Persatuan

10.30 pagi : 
 Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat
 Majlis Persembahan Marhaban

12.30 thari :  
Ketibaan lain-lain tetamu jemputan
Majlis silaturrahim
Jamuan makan tengahari ( Menu nasi putih/beriyani, lauk pauk, sate, pulut kuning, kuih muih dll )
Bersurai

Dipaparkan beberapa episod gambaran sambutan berkenaan di bawah ini.

Acara Bacaan Yasin beramai memulakan majlis
disertai oleh semua hadirin..

Antara tetamu yang turut membaca Yasin

Antara saudara mara & ahli keluarga yang turut serta
membaca Yasin

Sedang mengaminkan doa selepas Bacaan Yasin

Hadirin sedang mengaminkan doa Bacaan Yasin

Sepupu sedang mengaminkan doa.
Cucu-cucu pula sabar menunggu jamuan dimulakan

Dua beradik sedang mengaminkan doa  selamat dibacakan

Masih mengaminkan doa

Majlis persembahan Marhaban dimulakan dengan diketuai
oleh Uzt Rashidah ( kanan sekali / bertudung purple )
Pn Zakiah berbaju merah sedang mempersembahkan
nyanyian marhabannya..

Antara ahli rombongan Marhaban sedang menunggu giliran
mempersembahkan marhabannya

Saudara mara & rakan khusyuk mendengar
persembahan Marhaban

Uztazah Rashidah sedang membuat persembahannya....

Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.....

Tetamu sedang menjamu selera di bawah kanopi disediakan
Tahun ini seperti kebiasaannya, pada Hari Raya pertama kami akan ke masjid untuk bersembahyang berjemaah ( belum tentu masjid mana akan dikunjungi di kawasan sekitar tempat kediaman ini ), menunggu saudara mara dan kenalan datang berziarah, menziarahi kaum keluarga yang jauh dan dekat di bandar ini serta menziarahi perkuburan ahli keluarga yang telah berpulang ke rahmatullah. Aktiviti ini biasanya akan berlanjutan bukan pada Hari Raya pertama saja tetapi beberapa hari berikutnya. Jika tiada aral kami juga akan berpuasa enam sepanjang bulan Syawal nanti. Kami juga akan mengunjungi saudara di Pekan Baru Sumatera pada 14 Ogos nanti sambil menyambut Raya Puasa Enam dan meraikan majlis perkahwinan saudara di sana.

Tentang makanan pula, selain daripada pelbagai jenis biskut tetamu akan dijamu dengan ketupat daun palas, lemang, nasi himpit kuah kacang, pulut kuning dengan rendang, puding (menu tetap setiap tahun nampaknya ). Insya'Allah. Amiin........

Memandangkan banyak persiapan yang perlu dibuat menjelang beberapa hari lagi Hari Raya tiba, penulisan blog ini bercuti rehat seketika. 

Sempena Hari Raya tersebut melalui post ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin jika terdapat sebarang keterlanjuran kata dan salah silap kepada semua ahli keluarga, rakan taulan, kenalan dan semua pembaca blog di mana saja mereka berada. Diharap Hari Raya tahun ini akan dapat menghubungkan / menguatkan tali silaturrahim sesama kita, dimurahkan rezeki, sihat dan dipanjangkan usia oleh Allah swt. Amiin......

" SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. JUMPA LAGI SELEPAS RAYA NANTI. INSYA'ALLAH.