Saturday 18 January 2014

KETIKA PESARA PENDIDIKAN BERAYA ......

Walaupun sekarang bukan musim perayaan Islam, tapi saya terimbau kembali kenangan semasa menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Negeri Pahang bersama Persatuan Bekas Pendidik Daerah Kuantan, yang diadakan pada 21 Ogos 2013 di Cafe Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan mulai jam 10 pagi. Majlis ini dihadiri oleh semua pesara warga pendidikan dari seluruh Pahang.

Oleh kerana diadakan di Daerah Kuantan, sebahagian besar hadirin terdiri daripada mereka yang tinggal di daerah ini dan sebilangan kecil dari daerah berhampiran seperti Pekan, Maran dan Temerloh. Selain daripada meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434 Hijrah, majlis yang diadakan saban tahun ini juga peluang untuk semua ahli persatuan beramah mesra dengan rakan taulan yang sekian lama tidak berjumpa sambil merapatkan tali sillaturrahim dan mendapat maklumat tentang pelbagai perkara daripada pengurusan persatuan dan lain-lain rakan yang memiliki maklumat berkenaan. Info yang menarik perhatian ahli pesara yang majoritinya warga emas ialah agama, kesihatan, kebajikan, pelancongan, amal jariah dan lain-lain lagi.

Seperti biasa majlis sedemikian diserikan dengan acara ucapan dan persembahan selain daripada jamuan makan minum. Jamuan makan secara buffet itu dihidangkan dengan pelbagai menu makanan Hari Raya. Di antaranya seperti biasa lemang, rendang, ketupat, nasi himpit, laksa, lontong, kuih muih tradisional termasuk cendol. Sayangnya saya terabai merakamkan gambar hidangan buffet untuk tatapan pembaca sekelian.  Walau bagaimanapun, layan jelah foto-foto berikut ya......

Gelagat hadirin semasa mendengar ucapan.
Hjh Faridah & Hjh Rubiah khusyuk mendengar
sementara Hjh Noralena bersiap sedia untuk
 merakam gambar dengan notebooknya.
Saya bersama rakan Hjh Abidah posing
depan jurukamera - Hjh Noralena

Uztaz Hj Ismail Nihat mantan Penolong
Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan,
Sektor Agama Islam memimpin bacaan doa

Pengacara Majlis menjalankan tugasnya
YBhg Dato' Abd Rahim Mohamad, mantan
Pengarah Pelajaran Pahang tahun-tahun 2000
sedang menyampaikan ucapan selaku Pengerusi
Persatuan Persara Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Negeri Pahang
     
Hjh Noralena sedang berbual dengan
Hj Awang sambil diperhatikan oleh mantan
Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan
Hj Amiruddin. Mereka pernah bertugas
bersama saya di Maktab PerguruanTeruntum
                 
Gambaran selepas menikmati hidangan -
Hjh Noresah sedang menggunakan handphone,
Hjh Rafeah berbual dengan Hjh Rubiah, mantan
Pengerua-Pengetua Sekolah Menengah di Kuantan

Saya sempat merakam secara " candid "
gambar rakan yang dikenali semenjak 1976,
Hjh Meriam bt Dato' Khalid
Persembahan nyanyian oleh Pn Hjh Siti Saleha
dengan iringan alatan muzik yang dimainkan oleh
rakannya. Maaflah terlupa namanya......
 
Bagi yang berkemahiran menyanyi dan bermain
alat muzik berpeluang mempersembahkan bakat
untuk dendangan halwa telinga dan "relax"
minda hadirin sekelian
Ucapan Tn Hj Jusoh Hasan mantan Pegawai
Pelajaran Daerah Maran tahun - tahun 1995an
& Ketua Sektor Kurikulum Jabatan Pelajaran Pahang
 masih bersemangat & menggamatkan suasana majlis.
Maaf gambar kurang jelas akibat pegangan kamera
 kurang stabil

YBhg Dato' Razak Abu, mantan Pengarah
 Pelajaran Pahang tahun-tahun 1990an bersama
isteri diiringi oleh Dato' Wan Mustama
 mantan Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan
 awal tahun 2000 menuruni tangga ketika
 balik usai majlis jamuan

Saya tidak melepaskan peluang bergambar
bersama Hjh Faridah di tangga cafe selepas
majlis selesai sambil berpegang kepada
pagar konkrit tangga ketika menuruninya

Oleh kerana kebanyakan hadirin warga emas,
untuk keselamatan kami menuruni tangga
dengan berpegang kepada pagar konkrit
di tepinya  

Antara aksi hadirin waktu pulang usai majlis sambutan.
Oleh kerana tangga ke cafe agak tinggi & curam semua
hadirin terutama wanita yang mulai mengalami masalah 

penglihatan, lutut, saraf, sendi, amatlah berhati-hati dan 
berwaspada semasa menuruni anak-anak tangga 
dengan menyusuri pagar konkrit di tepinya
Demikianlah kenangan yang dapat dipaparkan. Semoga semua ahli berpeluang untuk hadir seterusnya dalam majlis sambutan sedemikian di tahun-tahun akan datang. Insya'Allah..............
Untuk pengetahuan para pembaca sekelian layarilah blog Sekilau1.blogspot.com yang telah menulis tentang perkara yang sama pada Ogos 2013, untuk pengetahuan lebih lanjut. Terima kasih ......

Oh ya, izinkanlah saya yang secara tak langsung telah mewar-warkan tentang persatuan ini dan menyebut nama tokoh-tokoh pendidik seperti di atas. Tujuannya hanya untuk info sahajalah ya. Melalui posting ini amatlah dialu-alukan rakan-rakan pesara dan bakal pesara pendidikan yang membaca blog ini, untuk menjadi ahli jika belum berbuat demikian. Hubungi pihak persatuan daerah masing-masing. Apabila telah menjadi ahli daerah secara automatik akan menjadi ahli persatuan peringkat negeri pula. Kalau bukan kita bekas pendidik yang menyokong persatuan ini siapa lagi ya? Renungkanlah...........

Friday 17 January 2014

LUAHAN RASA SEORANG BLOGGER BARU............

Sedar tak sedar sudah hampir setahun saya menjadi blogger. Sudah 71 posting yang berjaya diterbitkan. Saya amat gembira, bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat sambutan daripada pembaca blog yang prihatin dan meminati tulisan saya. Walaupun bilangan " pageviews " saya tidak begitu besar tetapi alhamdulillah ada lebih 6400 pageviews sekarang dengan " audiens " daripada negara di seluruh dunia seperi USA, Russia, Indonesia, Vietnam, Brunei, China, Canada, Jerman, United Kingdom, Hongkong, South Korea, Singapura, Ukraine, Thailand. 

Sebenarnya melalui blog, saya ingin berkongsi pengalaman dan kenangan sepanjang hidup yang masih jelas terpahat dalam ingatan saya bersama-sama kaum keluarga, sahabat handai, masyarakat dalam dan luar negara amnya serta generasi kita yang akan datang. Itulah tujuan utama saya berblogging dan mungkin juga semua blogger lain. Betul tak?

Hakikatnya bukanlah sukar sangat untuk menulis. Yang sulit sedikit ialah untuk memilih skop penulisan yang sesuai dan memberikan nama kepada tajuk posting yang dapat menarik perhatian pembaca atau yang boleh mengujakan pembaca untuk mengetahui kisah selanjutnya. Selain daripada itu ialah layout posting yang lebih menarik terutama apabila disertakan dengan gambar-gambar yang sudah tentu perlukan penyusunan yang sesuai dengan cerita yang berkaitan. Selain daripada itu banyak perkara baru yang perlu dipelajari seperti cara meluaskan audiens dan bagaimana memperolehi pendapatan tambahan melalui iklan di blog. Perkara inilah yang saya masih belum menguasai.dan mempelajarinya. Di samping itu untuk menulis kita perlukan masa yang sesuai bergantung kepada panjang pendeknya blog penulisan. Tidak dilupakan tatabahasa, sistem ejaan dan ragam bahasa penulisan yang betul, perlu juga diberi perhatian supaya kita dapat menunjukkan contoh penggunaan Bahasa Melayu ( pilihan bahasa yang saya gunakan ) yang baik dan betul.

Walaupun demikian, penulisan blog ini memberi pengalaman dan keseronokan meluahkan perasaan dan fikiran melalui tulisan dan peluang memberi komen terhadap blog - blog lain. Satu yang memberangsangkan ialah apabila posting kita mendapat sambutan daripada pembaca yang memberikan komen terhadap kisah yang ditulis. Rasa amat teruja membaca komen mereka dan memang sentiasa tertunggu-tunggukannya. Semakin mengujakan apabila ada " follower " yang bukan sahaja terdiri daripada kenalan rapat tetapi juga " blog walkers " Sudah tentulah kita akan dapat menjalin hubungan persahabatan dengan mereka dan memperluaskan lagi golongan kenalan kita. Melalui penulisan blog juga kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah dan menajamkan lagi teknik penulisan dan akal. 

Sekianlah.... selamat berblogging seterusnya kepada semua blogger..... semoga tulisan blog dapat mengisi kekosongan jiwa dan akal dengan maklumat yang bermanfaat untuk pengetahuan dan kehidupan di dunia fana ini..........SELAMAT TAHUN BARU 2014.

Tuesday 7 January 2014

LIMPAHAN AIR .....BANJIR......

Selepas sebulan banjir melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama Pahang, saya baru berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu mengenainya sebagai tanda simpati kepada mangsa-mangsa banjir, terutama saudara mara dan rakan-rakan karib yang terlibat. Oleh kerana ramai juga yang terkena musibah itu, tidaklah berkesempatan untuk melawat setiap orang kenalan itu selepas air surut kerana kesuntukan waktu oleh pelbagai urusan. 

Air amatlah diperlukan oleh semua kehidupan di dunia ini untuk urusan makan minum, mandi manda, mencuci pakaian, menggerakkan tenaga elektrik dan sebagainya. Tetapi apabila air melimpah ruah dan melanda dengan derasnya bagaikan lautan di daratan sudah tentulah ia merbahaya kepada semua kehidupan kerana menyebabkan kerosakan yang tidak akan tertahan oleh tenaga manusia terutama apabila ia datang secara mengejut / serta merta tanpa amaran dan sempat  membuat persiapan menyelamat sewajarnya. Itulah sinopsis mengenai banjir yang baru-baru ini melanda Bandar Lestari Kuantan, Pahang.  Ramai terlibat di kalangan mereka yang menghuni kawasan perumahan dan kampung-kampung berhampiran sungai dan kawasan rendah yang mudah ditakungi air apabila hujan lebat turun tak henti-henti. Saudara-saudara dan rakan-rakan yang dilanda musibah itu di Kampung Permatang Badak, Taman Sepakat, Sungai Isap, Taman Guru, Kampung Sri Damai dan rumah-rumah di sepanjang Batu 3 hingga Batu 6 Jalan Gambang diharap telah dapat melalui saat-saat getir tersebut dengan sabar dan tabah. 

Perkara banjir ini sebenarnya bukanlah hal baru tetapi telah kerap berlaku semenjak dulu lagi bezanya samada dalam skala besar atau kecil sahaja. Seingat saya semasa berulang alik ke sekolah dari Kampung Batu 7 ke bandar Kuantan semenjak tahun-tahun 1960an hingga setelah bertugas mulai tahun 1970an, jalanraya laluan di depan Sungai Isap dan Batu 3 kerapkali digenangi air pada musim tengkujuh sehingga terpaksa mengharungi air sewaktu berbasikal ke sekolah. Bayangkan kesukaran yang dihadapi apabila kasut dan pakaian seragam basah akibat hujan mencurah walaupun memakai baju hujan. Begitu juga apabila berkenderaan ke tempat kerja walaupun kesukarannya tidak seteruk sewaktu berbasikal tetapi air banjir yang dilanda oleh kenderaan walaupun membersihkan tayar tetapi juga memercikkan air kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan motorsikal yang menggunakan laluan yang sama. Kasihan mereka yang terlibat basah kuyup terutama jika tidak memakai baju hujan yang sempurna. Kalau air jernih kesannya tidaklah seteruk mana tetapi jika air berlumpur tentulah mengotorkan pakaian mereka.

Saya cukup bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir yang berdepan dengan situasi yang   
begitu kritikal tahun ini kerana menempuhi banyak kerosakan harta benda dan rumah melibatkan perabot-perabot, pakaian, tanaman dsbnya. Selepas banjir bertimbun-timbun barangan rosak di hadapan rumah mereka. Sudah tentulah alam sekitar kediaman mereka tidak sihat dan tidak selesa dari segi deria bau dan pandangan sementelahan pula kenderaan Majlis Perbandaran tidak tertangani pungutan semua sampah sarap berkenaan serta merta pada setiap hari dek terlalu banyak. Berhari-harilah sampah sarap itu berlonggokan di sepanjang jalan kawasan kediaman mangsa-mangsa berkenaan. Bayangkanlah mereka terpaksa menghidu bau yang sudah tentu tidak enak.....

Namun begitu selepas banjir  pihak berkuasa tempatan nampaknya telah berusaha keras membersihkan kawasan dan membaiki saliran-saliran longkang dan parit air di kawsan rendah yang kerap dilanda banjir bagi mengelakkan bencana itu berulang dan mangsa banjir tidak mengalami penderitaan berpanjangan. Apa tidaknya semasa bencana melanda mereka  terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir di sekolah-sekolah & dewan orang ramai, rumah saudara mara @ rakan taulan, menginap di hotel-hotel, tinggal di homestay dll. Usaha pihak-pihak berkenaan  sekurang-kurangnya dapat melancarkan laluan air jika hujan lebat turun lagi tanpa henti.  Semoga semua mangsa banjir telah dapat menyelesaikan masalah kerosakan rumah mereka dengan bantuan pelbagai pihak. Walaupun bantuan yang diterima tidak dapat menampung semua kerosakan harta benda, lahiriahnya mereka yang kelihatan tabah dan redha mengharungi bencana  diharap dapat hidup  kembali normal seperti sedia kala selepas itu.

Alhamdulillah walaupun Jabatan Metereologi telah meramalkan banjir gelombang kedua akan melanda sekali lagi, tetapi kenyataannya setakat ini tidak menjadi.  Sudah tentulah ini amat menggembirakan semua pihak yang terlibat khususnya dan semua rakyat amnya. Sama-samalah kita berdoa bencana berkenaan tidak akan berulang lagi. Insya'Allah. Aminnnn..........
.
Akhirnya, layarilah kepingan gambar-gambar berikut yang sempat dirakam sebagai kenangan dan perhatian kita semua. Renungkanlah dan resapi perasaan mangsa banjir sekelian. Jika kita berdepan dengan masalah sedemikian bagaimana pula agaknya????? Sekian.

Kesan banjir di rumah Uzt Khadijah bt Yusuf
di Taman Sepakat, Kuantan pada
 13.12.2013
Longgokan kerosakan perabot di depan
Balairaya & Masjid serta sepanjang
 jalanraya di Taman Sepakat Kuantan
 pada 13.12.2013


Tinggalan sisa kerosakan akibat banjir di bahu jalan Lorong Sg. Isap Damai 14 selepas banjir pada 13.12.2013

Sunday 5 January 2014

PEKANBARU - BANGKINANG - BUKIT TINGGI - PADANG

Berfoto di Lobi Lapangan Terbang Antarabangsa 
Sultan Syarif Kasim II semasa menunggu kenderaan 
ke Bandaraya Pekanbaru pada jam 12.48
Setiba di Pekanbaru pada sebelah petang 20.11.2013, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Bandaraya itu untuk menikmati keindahan alamnya sebelum pada sebelah malamnya kami berangkat ke Bangkinang menaiki kereta / mobil dipandu oleh Arif suami Dora dan tiba di sana lebih kurang 10 malam Layarilah foto-foto di bawah ini bagi menikmati bersama pengalaman kami itu .........

Bergambar di depan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat
 Daerah Kota Pekanbaru, 15.46 petang

Menara Masjid Agung An-Nur Pekanbaru, 16.29 petang

Masjid Agung An-Nur Pekanbaru, 16.31 petang
Tumpukan pandangan pembaca kepada 
tulisan di papan maklumat Masjid Agung 
An-Nur sambil menghayati kata-katanya

Gambar bangunan di hadapan Masjid Agung An-Nur Pekanbaru dirakam pada 16.33. 
Maaf terlupa mencatat nama bangunan berkenaan. 

Jam 17.23 pada 20.11.2013 kami berpeluang menikmati 
menu masakan Palembang di restoran yang menghidangkan
 makanan panas berasaskan bebola ikan dan tauhu kalau tak silap. 
Sayang sekali saya tidak merakamkan gambar menu itu
 sebelum menikmatinya maklumlah teruja hendak mencicipinya segera.
Keunikan jambatan pejalan kaki di Kampus Universitas Riau Pekanbaru
dirakam pada jam 18.43 pada 20.11.2013
Pada pagi 21.11.2013, kami berlapan menaiki sebuah kenderaan MPV bertolak dari Bangkinang ke Bukit Tinggi melalui jalanraya yang berkelok-kelok dan berliku-liku seperti gambaran dalam foto-foto di bawah. Kali ini kami berpeluang menaiki 5 jambatan baru yang telah dirasmikan pembukaannya dengan laluan kenderaan sehala sahaja. Rasanya lebih selamat dan aman begitu kerana dapat mengelakkan kesesakan ( macet ) dan risiko berlaku kemalangan. Kami amat gembira kerana dapat melihat keindahan alam bukit bukau di kawasan lebuhraya itu dalam keadaan nyaman tanpa gangguan lalulintas yang bertali arus. Tetapi dalam perjalanan balik ke Bangkinang-Pekanbaru, kami terpaksa melalui jalanraya lama di bawah jambatan baru seperti laluan yang kami tempuh semasa lawatan pada Ogos 2013 lalu. Apa pun ini pengalaman yang berharga bagi kami sekeluarga. Syukur... 

Jalanraya baru di Kelok 9 Bukit Tinggi

Jambatan Kelok 9 menghala Bukit Tinggi

Pemandangan indah di kawasan Jambatan 
Kelok 9 Bukit Tinggi

Laluan di Jambatan Kelok 9 yang agak mencabar juga

Lagi gambar Jalanraya di Kelok 9 dari pandangan atas


Berehat sebentar di Jambatan Kelok 9 sambil
menghayati pemandangan alam sekitar 
sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bukit Tinggi

Bangunan menarik perhatian di perjalanan menuju Bukit Tinggi
 dirakam jam 14.31 - 14.33. Foto di bawah itu Kantor ( Pejabat ) Pos.

Cafe makanan segera " halal " ( rujuk logo bulat berwarna hijau )
 di Plaza Ramayana Bukit Tinggi jam 17.58 petang

Pemandangan pintu masuk Plaza Bukit Tinggi jam 18.12

Gambaran di Jam Gadang Bukit Tinggi 
pada jam 18.49.petang

Foto Monumen Bung Hatta ini agak gelap semasa
diambil pada jam 19.01 menjelang malam

Hotel penginapan di Bukit Tinggi selepas
meninjau beberapa hotel lain yang tiada kekosongan.
 Foto dirakam jam 23.40 sekembali daripada makan malam
Bangunan " lentik " diambil dari koridor Hotel Ambunsari tingkat atas
 pada 22.11.2013 jam 8.55 pagi

Pemandangan Air Terjun " Anai " di tepi jalanraya
 Padang - Bukit Tinggi melepasi Padang Pariaman,
 yang gambarnya dirakam pada 22.11.2013 jam 14.17.
Hajat hendak ke Kota Padang dibatalkan kerana 

jalanraya sesak,  dibimbangi tidak berkesempatan 
untuk bersiar-siar di sana kerana perlu balik 
ke Bangkinang  pada petang itu juga.

Gambaran pada jam 14.22 semasa melintasi Taman Rekreasi
 Bertemakan Air di sebelah kanan jalanraya 
Padang - Bt Tinggi. 
Gambar  tidak jelas kenana diambil semasa kenderaan bergerak.

Pintu Gerbang yang teguh dan indah di jalanraya 
Padang - Bukit Tinggi. Kami melintasinya pada jam14.29.

Bangunan " Kerapatan Adat Nagari " di Kota Surungan Padang 
Panjang Barat,  yang menarik perhatian dengan ciri tradisional 
binaan rumah masyarakat Minangkabau. Foto diambil jam 14.41.
Antara menu masakan semasa singgah makan tengahari dan 
Solat Jamak Taqdim Zohor Asar dirakam pada jam 15.35
 di Restoran Simpang Raya Padang Laweh.  Hidangan di atas 
tidak dijamah kerana setiap menu dihidang dalam 2 piring
@ pinggan berlainan serta banyak jenis @ menunya.
 Foto-foto tersebut dirakam selepas selesai makan.

Bersantai selepas menikmati hidangan enak.

Papan tanda yang menggambarkan dengan sendirinya
 tentang " Rumah Makan & Restoran " berkenaan

Berfoto pada jam 16.16 di restoran yang dihias indah
dengan gambar dan papan ukiran yang menarik, sebelum

meninggalkan restoran  ke Bangkinang

Pemandangan sawah padi semasa melintasi kawasan tersebut jam 17.27 dalam perjalanan balik ke Bangkinang. Foto diambil dari dalam kenderaan yang sedang bergerak.
Sekembali ke Bangkinang kami terus ke rumah Juni, anak saudara dan dijamu dengan masakan berasaskan durian. Selepas itu barulah kami balik ke rumah sepupu di Kelurahan Pulau dan membuat persiapan untuk balik ke Pekanbaru pada 11 pagi keesokan harinya.

Gambar bersama keluarga di hadapan rumah kakak sepupu di Bangkinang pada 23.11.2013 jam 12.09( WM)

Foto kebun jagung di Kelurahan Pulau, Bangkinang dirakam dalam perjalanan balik 
menuju Pekanbaru jam 12.24

Foto cucu-cucu saudara di Pekanbaru pada 24.11.2013 jam 9.59

Gambar beramai bersama sanak saudara di rumah Wahyu, sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Pekanbaru pada 24.11.2013 jam 10.06

Bergambar bersama saudara mara pada 24.11.2013 jam 10.37,
 sebelum menguruskan penerbangan balik ke Subang 

Bergambar di Balai Berlepas Lapangan Terbang Pekanbaru 
jam 11.10 sebelum terbang jam 11.25 waktu Malaysia.ke Subang
Demikianlah percutian kami sekeluarga selama 5 hari 4 malam di Indonesia, semasa mengunjungi.sanak saudara dan tempat-tempat rekreasi termasuk pusat membeli-belah seperti Mall Matahari di Pekanbaru, Bangkinang, Bukit Tinggi dan Padang. Alhamdulillah semuanya selamat dan gembira. Satu yang mendukacitakan selepas tiga minggu kembali ke Malaysia kami mendapat khabar duka berpulangnya ke Rahmatullah, Matsom, abang sepupu yang menderita sakit tua pada 13.12.2013. Syukur sempat kami menziarahi dan bertemu Allahyarham semasa ada lagi hayatnya pada pagi 23.11.2013 sebelum berangkat ke Pekanbaru.. Al-Fatehah disedekahkan kepada Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aminnnn.........