Tuesday, 7 January 2014

LIMPAHAN AIR .....BANJIR......

Selepas sebulan banjir melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama Pahang, saya baru berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu mengenainya sebagai tanda simpati kepada mangsa-mangsa banjir, terutama saudara mara dan rakan-rakan karib yang terlibat. Oleh kerana ramai juga yang terkena musibah itu, tidaklah berkesempatan untuk melawat setiap orang kenalan itu selepas air surut kerana kesuntukan waktu oleh pelbagai urusan. 

Air amatlah diperlukan oleh semua kehidupan di dunia ini untuk urusan makan minum, mandi manda, mencuci pakaian, menggerakkan tenaga elektrik dan sebagainya. Tetapi apabila air melimpah ruah dan melanda dengan derasnya bagaikan lautan di daratan sudah tentulah ia merbahaya kepada semua kehidupan kerana menyebabkan kerosakan yang tidak akan tertahan oleh tenaga manusia terutama apabila ia datang secara mengejut / serta merta tanpa amaran dan sempat  membuat persiapan menyelamat sewajarnya. Itulah sinopsis mengenai banjir yang baru-baru ini melanda Bandar Lestari Kuantan, Pahang.  Ramai terlibat di kalangan mereka yang menghuni kawasan perumahan dan kampung-kampung berhampiran sungai dan kawasan rendah yang mudah ditakungi air apabila hujan lebat turun tak henti-henti. Saudara-saudara dan rakan-rakan yang dilanda musibah itu di Kampung Permatang Badak, Taman Sepakat, Sungai Isap, Taman Guru, Kampung Sri Damai dan rumah-rumah di sepanjang Batu 3 hingga Batu 6 Jalan Gambang diharap telah dapat melalui saat-saat getir tersebut dengan sabar dan tabah. 

Perkara banjir ini sebenarnya bukanlah hal baru tetapi telah kerap berlaku semenjak dulu lagi bezanya samada dalam skala besar atau kecil sahaja. Seingat saya semasa berulang alik ke sekolah dari Kampung Batu 7 ke bandar Kuantan semenjak tahun-tahun 1960an hingga setelah bertugas mulai tahun 1970an, jalanraya laluan di depan Sungai Isap dan Batu 3 kerapkali digenangi air pada musim tengkujuh sehingga terpaksa mengharungi air sewaktu berbasikal ke sekolah. Bayangkan kesukaran yang dihadapi apabila kasut dan pakaian seragam basah akibat hujan mencurah walaupun memakai baju hujan. Begitu juga apabila berkenderaan ke tempat kerja walaupun kesukarannya tidak seteruk sewaktu berbasikal tetapi air banjir yang dilanda oleh kenderaan walaupun membersihkan tayar tetapi juga memercikkan air kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan motorsikal yang menggunakan laluan yang sama. Kasihan mereka yang terlibat basah kuyup terutama jika tidak memakai baju hujan yang sempurna. Kalau air jernih kesannya tidaklah seteruk mana tetapi jika air berlumpur tentulah mengotorkan pakaian mereka.

Saya cukup bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir yang berdepan dengan situasi yang   
begitu kritikal tahun ini kerana menempuhi banyak kerosakan harta benda dan rumah melibatkan perabot-perabot, pakaian, tanaman dsbnya. Selepas banjir bertimbun-timbun barangan rosak di hadapan rumah mereka. Sudah tentulah alam sekitar kediaman mereka tidak sihat dan tidak selesa dari segi deria bau dan pandangan sementelahan pula kenderaan Majlis Perbandaran tidak tertangani pungutan semua sampah sarap berkenaan serta merta pada setiap hari dek terlalu banyak. Berhari-harilah sampah sarap itu berlonggokan di sepanjang jalan kawasan kediaman mangsa-mangsa berkenaan. Bayangkanlah mereka terpaksa menghidu bau yang sudah tentu tidak enak.....

Namun begitu selepas banjir  pihak berkuasa tempatan nampaknya telah berusaha keras membersihkan kawasan dan membaiki saliran-saliran longkang dan parit air di kawsan rendah yang kerap dilanda banjir bagi mengelakkan bencana itu berulang dan mangsa banjir tidak mengalami penderitaan berpanjangan. Apa tidaknya semasa bencana melanda mereka  terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir di sekolah-sekolah & dewan orang ramai, rumah saudara mara @ rakan taulan, menginap di hotel-hotel, tinggal di homestay dll. Usaha pihak-pihak berkenaan  sekurang-kurangnya dapat melancarkan laluan air jika hujan lebat turun lagi tanpa henti.  Semoga semua mangsa banjir telah dapat menyelesaikan masalah kerosakan rumah mereka dengan bantuan pelbagai pihak. Walaupun bantuan yang diterima tidak dapat menampung semua kerosakan harta benda, lahiriahnya mereka yang kelihatan tabah dan redha mengharungi bencana  diharap dapat hidup  kembali normal seperti sedia kala selepas itu.

Alhamdulillah walaupun Jabatan Metereologi telah meramalkan banjir gelombang kedua akan melanda sekali lagi, tetapi kenyataannya setakat ini tidak menjadi.  Sudah tentulah ini amat menggembirakan semua pihak yang terlibat khususnya dan semua rakyat amnya. Sama-samalah kita berdoa bencana berkenaan tidak akan berulang lagi. Insya'Allah. Aminnnn..........
.
Akhirnya, layarilah kepingan gambar-gambar berikut yang sempat dirakam sebagai kenangan dan perhatian kita semua. Renungkanlah dan resapi perasaan mangsa banjir sekelian. Jika kita berdepan dengan masalah sedemikian bagaimana pula agaknya????? Sekian.

Kesan banjir di rumah Uzt Khadijah bt Yusuf
di Taman Sepakat, Kuantan pada
 13.12.2013
Longgokan kerosakan perabot di depan
Balairaya & Masjid serta sepanjang
 jalanraya di Taman Sepakat Kuantan
 pada 13.12.2013


Tinggalan sisa kerosakan akibat banjir di bahu jalan Lorong Sg. Isap Damai 14 selepas banjir pada 13.12.2013

2 comments:

  1. Saya dah singgah tiga-tiga posting. Firefly...belum pernah. Pekan Baru Bkt Tinggi, Padang...ingin juga nak ke sana. Tak nak pelawa ke? Banjir...Syukur, gelombang kedua tidak membawa banjir besar di Kuantan.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah banjir besar tak berulang.....Amatlah dialu2kan hajat nak ke sebarang tu. Jemputlah! Pelawa benaran ni...Bila free bisa diurus cadangan tu nanti.... Insya'Allah!

    ReplyDelete