Friday, 3 January 2014

FIREFLY

Setelah sekian lama menyepi ( sebulan lebih jugalah akibat pelbagai kesibukan ...) hati teruja hendak menulis sesuatu. Lalu membalik-balikkan fikiran sehingga tercetuslah idea untuk menulis mengenai penerbangan Firefly, penerbangan MAS yang masyhur juga itu.Tujuan saya bukan untuk bercerita mengenai sejarah penerbangan itu @ perkhidmatannya @ mengkritik @ komentar mengenainya tetapi sekadar perkongsian pengalaman buat pertama kalinya menggunakan khidmat penerbangan ini....Ke mana ? Inilah yang hendak dikisahkan......

Pada 20 Nov 2013 lalu, 10.30 am, kami sekeluarga berenam semuanya menaiki penerbangan Firefly FY3409 dari Subang (SZB) ke Pekanbaru (PKU), untuk menziarahi saudara mara di sana buat kali keempat bagi saya dan kakak tetapi pertama kali bagi anak saudara dan 3 orang anaknya. Kami teruja memilih penerbangan ini untuk merasai pengalaman menaiki penerbangan ringan dengan muatan penumpang yang tidak ramai, lebih kurang 70 orang sahaja. Lagi pun kami tidak perlu berjalan jauh dari balai berlepas ke pesawat kerana ia " parking " berhampiran dengan balai itu. Kami memilih tempat duduk di bahagian tengah iaitu   " wing " pesawat berkenaan dengan 6 tempat duduk di baris nombor 11 dan 12 . Ada 2 barisan tempat duduk yang diduduki oleh dua orang setiap satunya. Semasa di udara penerbangan berjalan lancar. Walaupun tempoh penerbangan tidak begitu lama kami dihidangkan dengan pilihan jus oren @ jambu batu dan pilihan kacang goreng @ muffin yang enak ( tiada bayaran tambahan sebaliknya termasuk dalam bayaran penerbangan ). Terisi jugalah perut yang mulai kosong selepas bersarapan di cafe lapangan terbang sebelum berlepas. Pesawat ini terbang di ketinggian yang sederhana tinggi.  Bagi penumpang yang duduk di tepi tingkap dapatlah menyaksikan pemandangan di bawah dalam keadaan cuaca yang agak baik. Sewaktu hampir sampai ke destinasi, kami ada merasai sedikit gegaran ketika pesawat mulai menurunkan ketinggian ketika hendak  mendarat. 

Walau bagaimanapun kami amat bersyukur selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Sharif Kasim 11 Pekanbaru pada jam 10.30 pagi waktu Indonesia. Sewaktu sampai bas sudah sedia menunggu di landasan untuk membawa semua penumpang ke balai ketibaan di bangunan lapangan terbang itu. Selepas membereskan segala urusan ketibaan iaitu pemeriksaan imigresan ( cop pasport dll  ), kastam ( tiada apa yang hendak diisytiharkan ) dan pengambilan bagasi, kami menuju keluar balai ketibaan untuk menemui saudara mara yang setia menunggu ketibaan kami, menuju rumah salah seorang anak saudara untuk makan tengahari. Dengan itu bermulalah lawatan kami ke Pekanbaru. Tunggu posting lain untuk cerita selanjutnya ya....

Dengan penerbangan Firefly FY3408 pula kami berlepas dari Pekanbaru (PKU) pada 24 Nov 2013 jam 10.25 pagi waktu Indonesia dan tiba di Subang (SZB) jam 12.25 tengahari. Kali ini kami diberi tempat duduk 17 dan 18 hampir dengan kerusi-kerusi " business class " di bahagian berhampiran pintu masuk pesawat ( satu pintu sahaja ) yang terletak di bahagian ekor. Ini kelainan daripada penerbangan lain di mana bahagian " business class " berada di hadapan pesawat dengan melalui tangga hadapan. Kami sungguh selesa berada di kerusi berkenaan. Penerbangan pun lancar dan stabil sahaja rasanya. Semasa penerbangan balik ini saya berpeluang duduk berhampiran tingkap pesawat dan dapatlah memerhatikan dari udara pemandangan menarik - bumbung-bumbung rumah penduduk di Sumatera, sungai mengalir lesu ( sayang sekali tak tahu namanya ) dengan kapal  @ bot melayarinya bagaikan semut berjalan dek terlalu kecil saiznya dilihat dari udara, gumpalan awan dan kemudiannya laut Selat Melaka yang terbentang luas saujana mata memandang. Memang satu pemandangan yang menarik hati dan mengujakan melihat ciptaan Allah swt dari ketinggian penerbangan walaupun dalam tempoh sekejap dek kelajuan pesawat. Subhanallah......

Alhamdulillah! Kami gembira selamat kembali semula ke Malaysia yang dicintai.....

Untuk pembaca sekelian tataplah gambar-gambar yang sempat diambil sebagai kenangan. 

Di Balai Berlepas Subang menunggu penerbangan.......
Sempat bersantai di kerusi urut yang sudah tidak berfungsi


Gambaran dalam pesawat semasa di udara.........
Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II dilihat dari luar.
Demikianlah pengalaman terbang dengan Firefly, satu kelainan daripada penerbangan dengan Riau Airlines dari Melaka ( 2004 ), AirAsia dari LCCT Sepang ( 2007 & Ogos 2013 ) ke destinasi yang sama iaitu Pekanbaru, Indonesia.

No comments:

Post a Comment