Saturday, 16 November 2013

MASA LALU YANG TAK TERLUPAKAN....

Bila bercerita tentang masa lalu, sudah tentu tidak akan dapat dielakkan cerita tentang alam
kanak-kanak sebab itulah permulaan kehidupan setiap manusia. Pengalaman masa kanak-kanak ada kalanya begitu sensasi dan sukar untuk dilupakan. Dalam ruangan ini saya ingin memaparkan pengalaman pahit yang kadang-kadang menggemparkan dan meresahkan sebagai tatapan semua pembaca. Ambillah iktibar daripada insiden-insiden berkenaan bak kata pepatah " Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan "

Insiden yang hendak diceritakan ini berkisar pada pengalaman kakakku sebagai kenangan anak cucu di masa-masa akan datang. Anggaplah ia satu pengalaman unik yang tidak semua orang diuji untuk melaluinya dan jadikan ia sebagai peristiwa yang mematangkan dan membentuk peribadi yang lebih seimbang.

Insiden-insiden yang ingin diceritakan ini berlaku sebelum dan semasa awal alam persekolahan di tahun-tahun 1955 - 1960an. Sudah menjadi tabiat setiap kanak-kanak menangis dan ada kalanya memberontak, jika keperluan dan kehendaknya tidak dipenuhi. Saya pun ingat-ingat lupa peristiwa ini maklum saja baru berumur sekitar 4 - 5 tahun. Jadi ada kisah yang saya ingat melalui cerita yang kakak sendiri kerapkali sampaikan semasa kami berkumpul adik beradik. Pada masa itu negara kita berada di ambang kemerdekaan. Kehidupan kanak-kanak pada masa itu memanglah tidak mewah terutama bagi golongan keluarga yang tinggal di luar bandar yang bergantung pendapatan pada kerja-kerja pertanian semata-mata. Itulah situasi yang kami alami. Datuk yang menjadi penjaga kami berdua selepas kematian arwah ayah pada tahun 1951 hanya bergantung kepada sumber pendapatan daripada kerja-kerja menoreh getah dan bertani yang pulangannya ketika itu tidaklah besar.

Adakah sesiapa yang mengalami pengalaman yang sama ? Ikutilah kisah seterusnya. Maaflah jika jalan cerita tidak begitu menarik hati pembaca sekelian ya......

Kisah 1 :  

Kakak pernah dikurung di rumah asap yang digunakan untuk mengeringkan getah keping sebelum dijual, yang terletak di belakang rumah. Rumah asap itu berdinding papan tegak beratapkan tak pasti daun nipah atau zink tanpa tingkap kecuali pintu  dan agak luas juga lebih kurang 10 x 12 kaki lebar. Ia berlantaikan tanah liat semata-mata. Di tengahnya digali satu lubang besar untuk meletakkan unggun api. Di atasnya bergantungan kepingan getah yang disidaikan di atas palang-palang kayu yang bertingkat-tingkat. Selepas lebih kurang 2 - 3 hari apabila sudah cukup kering / masak kepingan getah itu akan dikeluarkan dan dikumpulkan untuk dijual.  Pada hari berkenaan, saya tidak berapa pasti penyebabnya kakak dikurung dalam rumah itu yang kalau tak silap apinya telah dipadamkan kerana tiada lagi getah keping yang hendak dikeringkan. Tapi yang pasti ia dikurung kerana menangis berlanjutan sehingga membingitkan telinga ahli-ahli keluarga yang lain. Tangisannya tidak juga berhenti walaupun telah dikurung malahan semakin kuat menangis, tetapi dek kerana keletihan menangis akhirnya senyap sendiri. Masa inilah orang dewasa mulai gusar bimbang sesuatu yang buruk berlaku padanya. Apabila ditinjau rupanya dia tertidur kepenatan akibat menangis. Selepas dibangunkan dia dimandikan, diberi makan dan disuruh berehat ( ditidurkan ). Alhamdulillah.....

Kisah 2 :

Pada satu malam selepas waktu Maghrib kakakku telah dikurung di luar pintu rumah akibat menangis tidak berhenti-henti jua. Semakin kuatlah ia menangis kerana ketakutan dek kegelapan malam tanpa cahaya rembulan. Yang nampak hanya bayangan pokok-pokok yang bergoyang apabila ditiup angin. Minda kanak-kanak mulai menerawang memikirkan perkara-perkara yang menyeramkan. Maklumlah pada masa itu masyarakat Melayu memang masih lagi diselubungi dengan kepercayaan wujudnya benda-benda ghaib seperti hantu dan kerap menakutkan kanak-kanak yang berperangai kurang baik dengan berpura-pura / berlakon sebagai hantu dengan berselubungkan kain pelikat dan seumpamanya. Semakin kuatlah kakakku menangis mungkin membayangkan hantu semasa berada berseorangan di luar rumah. Oleh kerana tangisannya tidak berhenti jua dan bimbang sesuatu perkara buruk berlaku ibu saya telah membawanya masuk ke dalam rumah. Kakak pun berhenti menangis. Kasih ibu memang tidak boleh dipertikaikan. Senakal manapun anak tidak akan sampai hati membiarkan keseorangan menangis berpanjangan. Betullah kata-kata pepatah " kasih ayah semasa ada, kasih ibu sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga ".

Kisah 3 :

Punca air untuk makan minum dan mandi zaman kami kecil-kecil dulu hanya perigi. Dengan menggunapakai tin biskut dan baldi aluminium ( ayan ) kami menimba air untuk diangkut ke atas rumah kayu bertiang atau ditakungkan di bilik mandi untuk kegunaan keluarga.  Biasanya kami yang kecil-kecil tidak dibenarkan bersendirian di bilik mandi yang mengepung telaga berkenaan bimbang ditimpa apa-apa musibah. Selalunya kami mandi manda bersama orang-orang dewasa. Pada satu hari hendak dijadikan cerita, kakakku yang agak degil masa berumur belasan tahun pada waktu tengahari pergi bersendirian ke telaga tanpa pengetahuan ibu untuk mandi. Masa dia menimba air perigi yang agak dalam juga pada masa itu, entah macamana kakinya telah tersangkut pada tali timba yang membelitnya dan menarik kakakku ke dalam perigi semasa timba dicampakkan ke bawah. Apa lagi tercungaplah dia dalam perigi itu. Bayangkanlah walaupun dia ada asas berenang di sungai tetapi perigi yang saiznya tidaklah besar, agak menyukarkannya untuk berenang atau mengapungkan diri sementelahan pula tidak begitu mahir berenang. Nasib baik arwah bapa saudara yang rumahnya berhampiran perigi tersebut mendengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air. Pada mulanya disangkakan buah kelapa atau  mungkin durian yang jatuh. Naluri orang dewasa yang berprasangka ada sesuatu tidak baik berlaku telah menyebabkan arwah bapa saudara menjenguk ke perigi dan sempat melihat kakak tercungap-cungap dalam air. Beliau pun dengan segera melaungkan insiden kakak jatuh ke dalam perigi itu. Serta merta seperti biasa berkerumunlah jiran tetangga dan saudara mara berhampiran rumah di sekeliling perigi tersebut untuk membantu menaikkan kakak yang sedang diselamatkan oleh bapa saudara yang telah turun ke dalam perigi. Sebenarnya perigi itu tidak dikelilingi oleh batu simen tetapi sekadar perigi tanah liat yang di tempat-tempat tertentu ditumbuhi pohon renek yang boleh dipautkan tangan di situ. Jadi mudahlah sikit kerja menyelamatkan kakak yang hampir tenggelam. Dengan menarik rambutnya yang agak panjang waktu itu, kakak didukung naik ke atas. Mungkin ada yang menurunkan tali panjang dan lebih kuat ( rasanya tidak mungkin tangga sebab perigi agak dalam dan belum ada tangga panjang atau berlipat yang boleh dipanjangkan ikut kesesuaian keadaan ) ke dalam perigi untuk memudahkan penyelamat membawa kakak yang hampir pengsan naik ke atas dan membantu arwah bapa saudara naik semula. Selepas diselamatkan kakakku melalui sesi pertolongan cemas bagi mengeluarkan air yang telah tertelan dengan cara menonggeng kepalanya ke bawah supaya air dapat keluar.. Dengan asas pertolongan cemas yang dimiliki oleh orang dewasa sedemikian  kakakku terselamat daripada lemas. Alhamdulillah.......

Kisah 4 :

Semasa bermain bersama rakannya di kebun ubi kayu di seberang jalan rumah kami, kakak masa remajanya hampir tertembak dek senapang patah milik arwah bapa saudara yang menyelamatkannya semasa jatuh perigi. Arwah bapa saudara tidak tahu mereka bermain di sana sebab tidak dimaklumkan oleh sesiapa pun. Arwah menyangka ada babi hutan yang menyondol pokok-pokok ubi kayu di kebun itu maklumlah persekitaran kampung masa itu dipenuhi semak samun. Nasib baik arwah hanya sempat mengacukan senapang tetapi tidak sempat membidiknya, kerana dinasihati oleh arwah nenek supaya meninjau dulu samada binatang atau manusia yang bergerak-gerak di kebun itu. Yang mencemaskan lagi kakak dan kawannya itu tidak sedar langsung keriuhan akibat perbuatan mereka sebaliknya asyik bermain di celah-celah pokok ubi yang agak padat juga tumbuhnya. Sebenarnya hikmah di sebalik kejadian itu ialah kita mesti berusaha mempastikan sesuatu benar-benar selamat sebelum mengambil apa-apa tindakan. Kita mestilah percaya bahawa dengan izin dan kehendak Allah swt jua segala kejadian akan menjadi mengikut kemahuanNya seperri ayat dalam Al-Quran yang saya ingat begini " Jika Aku mahu sesuatu menjadi, maka menjadilah ia ...." Berdoalah memohon kepada Allah swt kita dilindungi dan dirahmatiNya. Aminnn.....

Itulah antara beberapa insiden yang berkesan di jiwa dan tidak akan terlupakan oleh kami semua sehingga sekarang. Pengajaran yang terkandung di dalamnya memanglah banyak. Kita orang dewasa sepatutnya memahami jiwa kanak-kanak dan memenuhi tuntutan mereka secara berhemah. Anak-anak kecil perlu dipujuk dan dinasihati secara berhikmah apabila memberontak dan hukuman adalah sebagai langkah akhir untuk menyedarkannya daripada melakukan kesalahan serta mendisiplinkan mereka supaya patuh pada peraturan dan ajaran orang dewasa di masa-masa akan datang.  Didikan agama dan moral di samping kasih sayang amatlah penting diterapkan semenjak kanak-kanak masih kecil lagi bagi membolehkan mereka menjadi orang dewasa yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Seperkara lagi, untuk pengetahuan pembaca budiman sekelian, anak-anak generasi selepas kami tidak ada yang melalui insiden sedemikian. Perubahan masa membawa kehidupan yang lebih selesa dan asuhan yang terkawal dan terancang, memungkinkan insiden mendebarkan seperti itu tidak pernah berulang lagi. Selain daripada itu setiap manusia ada takdir dan nasibnya yang tersendiri yang unik atau khas untuk dirinya sahaja yang telah ditentukan Allah swt semenjak azali lagi. Sudah tentulah pengalaman kita masing-masing berbeza. Subhanallah.....

Demikianlah nukilan dan renungan di sebalik semua kejadian yang berlaku........

4 comments:

  1. Bila saya baca posting ini, seolah-olah mendengar cerpen yang dibaca di radio...ada sound effect alunan muzik imbas kembali. Saya juga boleh bayangkan watak utama serta senario kejadian. Thank you, terhibur.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana usaha menulis cerita benar ni menghiburkan....bukan berniat untuk memaparkan kenakalan watak tetapi sbg pernyataan masalah masa kecil-kecil dulu yg kalau ditinjau kembali berimpak kepada kehidupan selepas dewasa ....rasa simpati pun ada....

    ReplyDelete
  3. Membaca sebuah karya.. nukilan yang benar memang menarik.. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Diharap cerita benar ini bermanfaat & membolehkan kita lebih menghayati / menikmati kehidupan selesa masa kini.......

      Delete