Saturday 26 September 2015

PELAMIN IMPIAN MEMPELAI........

Kebiasaannya di musim cuti sekolah ibu bapa sibuk mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka. Antara yang menjadi tumpuan mereka ialah persiapan pelamin persandingan dan meja makan beradap yang rata-rata menjadi kemestian dalam adat istidat perkahwinan masyarakat Melayu di negara Malaysia ini.
Di sini saya ingin memaparkan beberapa pelamin indah yang menjadi impian pasangan pengantin baru zaman kini sebagai wadah merakam gambar kenangan indah fasa baru kehidupan mereka. Pelamin-pelamin itu merupakan pelamin sepupu-sepupu, anak-anak sepupu, anak-anak saudara mara, anak-anak saudara sekampung dan anak-anak rakan karib yang telah dihadiri di masa-masa lalu.


Meja Makan Beradap di majlis perkahwinan anak 
Kamisah & Nasir


Bergambar di depan pelamin anak Kamisah...


Meja makan beradap Shafa & Azman di Kuantan


Pelamin Shafa & Azman, anak arwah sepupu di Kuantan


Pelamin anak Dato Abd Rahman di Melaka....


Maaf tidak ingat pelamin siapa di atas ini.....



Pelamin Norhafiza & suami,  anak Zainon rakan karib di Gombak Batu 6.


Bergambar bersama pengantin di Gombak


Pelamin sepupu Faizadh & Maris di Seri Damai Kuantan


Pelamin anak sepupu - Khairul & isteri di Semambu Kuantan


Bergambar bersama kakak di depan pelamin indah anak siapa......maaf sudah terlupa..



Pasangan Yusliza & suaminya, anak Khadijah dua pupu,  di pelamin persandingan mereka di Bt 7 Kuantan.


Anak sepupu - Suhaibah di pelaminnya di Seri Damai Kuantan.


Sepupu arwah Fiza & suaminya Khoo Rahman di depan pelamin mereka di Seri Damai Kuantan 2011.


Pasangan pengantin anak saudara mara ( Kamisah ? ) bersanding di pelamin mereka 


Pelamin anak kawan baik Habibah di Dewan UIAM Kuantan


Meja makan beradap anak Pn Habibah


Anak Pn Habibah bersanding di pelamin mereka 



Pelamin Imas & suami - anak sepupu di Batu 7 Kuantan


Imas & suami di pelamin mereka semasa majlis menyambut menantu di Taman Mahkota Batu 12 Kuantan


Pelamin anak saudara abang ipar di Dewan Sri Dagangan di Indera Mahkota Kuantan


Bergambar di pelamin indah Raudhah, anak rakan, Hjh Mariam di Kota Baru Kelantan



Ghazali anak bungsu Zainon rakan karib, di pelamin bersama pasangannya di Gombak.

Jika ada pasangan pengantin di atas yang membaca blog ini, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kesudian bergambar. Mohon maaf jika penerbitan ini tidak disenangi. Semuanya bertujuan untuk memaparkan keindahan pelamin persandingan dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu masakini sebagai contoh ikutan atau diskusi tentang keperluan  dan manfaat pelamin bagi kedua pasangan pengantin baru. " SELAMAT PENGANTIN BARU SEMOGA BERBAHAGIA & BERKEKALAN SEPANJANG HAYAT " Aamiin ... Ya Rabolalamin ..... 








Sunday 23 February 2014

PANDU PUTERI.......

Lagu Dunia

Arah Kita Jelas Ke Depan, Bendera Berkibar
Tidak Berlipat Di Dunia, Harapan Abadi
Bersatu Untuk Kebenaran, Persahabatan Kukuh
Selagi Dunia Masih Ada
Akan Nyanyi, Lagu ini.

Yang Cintakan Kebenaran, Menetapkan Janji
Dengan Rela Berjasa, Setia Abadi
Kebenaran Kita Tepati
Bersedia Sama
Untuk Semua Miskin, Kaya
Kita Beri, Yang Terdaya.

( Lagu ini dipetik dari Buku Pelaporan Mesyuarat Agung Tahunan
 Guild Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang
 Kali ke 14/2014 pada 4 Februari 2014, Selasa, 
di Rest House Bentong Pahang )

Senikata lagu di atas memang sinonim dengan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan ( NGO )
Pandu Puteri kerana ia merupakan lagu rasmi persatuan tersebut yang mesti dinyanyikan setiap kali persatuan berkenaan mengadakan acara rasmi seperti Perasmian Program Mesyuarat Agung Tahunan, Persidangan Pesuruhjaya, Perkhemahan, Kursus dll.

Gambar-gambar berikut yang discan daripada album Pandu Puteri yang ada dalam simpanan, menimbulkan nostalgia yang mengusik jiwa semasa menghadiri program Persatuan Pandu Puteri Malaysia ketika berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Daerah Kuantan 1999 hingga 2006. Minta maaflah gambarnya kurang jelas sebab sudah mulai pudar kerana sudah lama berlangsung. Begitu juga ada program yang kurang diingati lagi sekarang - tahun dan tempat ia dilangsungkan. Walaupun begitu tataplah gambar-gambar yang dikepilkan ini.

Bergambar bersama KDYTM Tengku Mahkota Pahang semasa
jamuan meraikan peserta Pandu Puteri Asia Pasifik Region

di Istana Aziz Kuantan pada 17.8.2005
Bergambar bersama sebahagian pemimpin Pandu Puteri Kuantan 
di Dewan Konvensyen Kuantan ketika Program Pemasyhuran 
KDYTM Tengku Puan Pahang sebagai Penaung Di Raja 
Friends Of Asia Pacific Region pada 17.8.2005
Gambar di Persidangan Kebangsaan Pesuruhjaya dan
Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia
2002 / 2003 di Kucing Sarawak
Gambar Pemimpin Pandu Puteri sempena Persidangan Pesuruhjaya dan MAT
Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada 24 - 27 Julai 2003 di Kucing Sarawak

Antara gelagat sebahagian Pemimpin Pandu Puteri semasa bersedia
 untuk posing atas pentas persidangan 2003 di Kucing Sarawak

Aktiviti santai menaiki bot di Sungai Rajang Kucing Sarawak, 
bersama sebahagian Pemimpin Pandu Puteri Pahang
ketika menghadiri Persidangan Kebangsaan 2003

Gambar lawatan dan riadhah di Kompleks Taman Mini Kucing Sarawak
 semasa Persidangan Kebangsaan Tahun 2003

Gambar yang diambil di salah satu Persidangan Tahunan Pesuruhjaya 
dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia
( Kalau tidak silap di Melaka pada 30.5.2002? )

Gambar beramai Pemimpin Pandu Puteri Pahang bersama 
YABhg Datin Seri Junaini bt Kassim selepas Mesyuarat Agung Tahunan  
Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Pahang 
di Dewan Majlis Daerah Maran pada 23.3.2003
Gambar bersama Remaja Puteri Pandu Puteri Malaysia
  Cawangan Pahang ketika Mesyuarat Agung Tahunan 2003 di Maran Pahang

Aktiviti kelim kuih karipap semasa Perkhemahan Pandu Puteri
 pada 19.6.2001 (? ) di Taman Pertanian Kuantan  dan
Kursus di Wisma Pandu Puteri Lembah Pantai Kuala Lumpur

Program Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia 
Cawangan Pahang Daerah Kuantan pada 15.2.2006 
di SMK Paya Besar Kuantan

Penyampaian Sijil ketika Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan
Pandu Puteri Daerah Kuantan disempurnakan oleh
Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan ketika itu
Itulah secebis kenangan mengenai aktiviti Pandu Puteri yang berkesan di jiwa sehingga kini dan yang tidak akan terlupakan kerana peluang bergiat sedemikian hanya sekali dan tidak akan terulang lagi sedemikian. Syukur Alhamdulillah kepada Allah swt kerana nikmat tersebut...

Insya'Allah akan ditulis lagi posting lain yang lebih terperinci tentang penglibatan dalam badan sukarela ini di lain-lain masa. Sabarlah menunggu ya.....Terima kasih.......









Wednesday 5 February 2014

ALANGKAH INDAHNYA ZAMAN KANAK-KANAK........

Saya teruja pula untuk menulis bagi menambah posting di bulan Februari ini. Fikir punya fikir dan belek-belek galeri foto dalam komputer terjumpa foto yang sesuai. Lalu saya putuskan untuk menulis mengenai keindahan zaman kanak-kanak. Sementelahan pula saya terkenangkan permainan yang selalu kanak-kanak mainkan apabila berada di tepi pantai yang sudah tentu menimbulkan nostalgia masa kecil-kecil dahulu. Oleh kerana kemudahan tidak semewah zaman sekarang, kanak-kanak masa itu hanya bermain di laman rumah. Seingat saya permainan yang diceritakan di bawah menjadi tumpuan kami juga tetapi dalam keadaan yang berbeza. Jika kanak-kanak sekarang bermain membina istana pasir di pantai, kami berpuashati dengan bermain tanah pasir di laman yang dibasahi air dan membina model-model rumah kediaman dan sebagainya mengikut angan-angan masa itu sebab tiada garis panduan berpandukan buku, majalah dll. Maklum sajalah kesempitan hidup menghalang memperolehi semua itu....Baiklah tidak perlulah diperpanjangkan hal itu. Yang lalu biar berlalu sebab sudah menjadi sejarah lampau. Tumpuan sekarang pada generasi abad 21

Situasi 1 : Di Pantai Sepat, Tg Lumpur, Kuantan
Tarikh :  Februari 2009
Sempena : Perkelahan keluarga

Anak cucu bersaudara sepupu sedang bermain pasir pantai,
permainan yang memang digemari oleh semua kanak-kanak
dahulu dan sekarang. 

Kalau dahulu ada yang belum bersekolah atau masih bersekolah rendah,
 sekarang sudah bersekolah rendah, belajar di sekolah menengah,
sedang menunggu keputusan SPM dan belajar di kolej

Apa yang mereka buat ?
Sepupu perempuan menyelimuti kaki sepupu lelaki dengan pasir...
Ingatkan mereka membina istana pasir? Hmmm....

Inilah hasilnya...yang menggelikan hati jemari kaki masih kelihatan.
Kenapa begitu ? Masing-masing hendak segera  main air dan
mandi laut, kesukaan semua kanak-kanak dan orang dewasa pun....
Seronok berendam dalam air laut  sambil diawasi oleh orang dewasa.
Air sedalam buku lali orang dewasa maklumlah mandi di gigi air je ...
Di belakang jelas kelihatan pokok-pokok tumbuh merendang di tepi pantai..

Gembira puas bermain pasir dan mandi laut.....

Situasi 2 : Di Pusat Kokurikulum Pantai Balok Kuantan
Tarikh  tepat tak pasti tapi dalam lingkungan tahun-tahun 2000 - 2006
Sempena : Perkhemahan Pandu Puteri Tunas Peringkat Sekolah-Sekolah
Rendah Negeri Pahang
Salah satu aktiviti dalam program berkenaan ialah pertandingan membina istana pasir mengikut daerah-daerah seluruh Pahang secara terancang berasaskan tema istana raja zaman dahulu kala. Layanlah foto-foto berikut yang sempat saya rakam ketika bertugas sebagai Pesuruhjaya Pandu Puteri Daerah Kuantan.
Beberapa hasil binaan istana pasir yang terancang mengikut 
tema ditentukan adalah gambaran kreativiti ahli-ahli Tunas Puteri 
Pahang ketika itu. Alatan seperti tudung botol, gelas plastik,
 botol kosong, mangkuk digunakan sebagai acuan membentuk 
struktur bangunan istana pasir berkenaan...

Hasil kerja berkumpulan mengikut daerah-daerah
dipamerkan secara memanjang di tepi pantai
berhadapan Laut China Selatan.
   
Daerah ini mungkin menjuarai pertandingan
membina istana pasir. Sebahagian pesertanya
berposing depan hasil kerja kumpulan mereka
berlatarbelakangkan keindahan pantai
Laut China Selatan
Itulah secebis kenangan mengenai permainan kanak-kanak dan kegembiraan mereka menikmatinya. Kita orang dewasa memang sepatutnya berusaha untuk menyediakan kemudahan yang sesuai bagi membolehkan mereka mengembangkan minda dan fizikal dalam keadaan selamat dan selesa, supaya generasi muda kini dan akan datang hidup terbela, selamat dan sejahtera serta dapat mengkesinambungkan khidmat generasi orang tua membangunkan masyarakat dan negara. Aduhai beremosi pula, tapi itulah kenyataannya kan....

Nota tambahan : Semasa menggeledah susunan beberapa dokumen Pandu Puteri yang masih ada dalam simpanan arkib (he3x) saya, terjumpalah satu brosur tentang laporan aktiviti situasi 2 di atas, yang menyatakan  ia berlangsung pada 20.6.2001 (Rabu). Alhamdulillah! Lebih tepatlah ya fakta dalam posting di atas ....... itulah kesan mengenang masa lalu.....
     


Saturday 1 February 2014

KOPERASI OH KOPERASI!!!!!!!!!!!!!!!

Umumnya kita semua biasa mendengar istilah " Syarikat Kerjasama " - syarikat yang biasanya memberi pinjaman wang untuk melanjutkan pelajaran, perkahwinan, membeli rumah, kenderaan, membeli peralatan rumah dsb kepada ahli-ahlinya. Konsepnya kerjasama dan kerja sama-sama dan untung-rugi bersama-sama. Sekarang syarikat sedemikian dikenali dengan nama Koperasi. Pertubuhan ini dinaungi oleh ANGKASA ( Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad ), Suruhanjaya Koperasi Malaysia ( SKM ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi ( KPDNKK ).

Sebenarnya banyak ilmu dan faedah yang boleh kita perolehi melalui kegiatan koperasi. Di sini saya ingin berkongsikan pengalaman mengenai penglibatan saya dalam gerakan Koperasi Pertiwi Melayu Pahang Berhad yang berusia 5 tahun dengan bilangan ahli 50 orang. Kebanyakan ahlinya sekarang terdiri daripada guru dan staf sokongan wanita Melayu yang telah bersara dan masih berkhidmat di samping suri-suri rumahtangga walaupun keanggotaan koperasi ini terbuka kepada semua wanita Melayu pelbagai profesion dan status. Penglibatan saya dalam koperasi ini selaku Setiausaha pun baru bermula pada tahun 2010. Jadi belumlah banyak sumbangan yang dapat diberikan memandangkan adanya kekangan waktu, kewangan, tenaga, sokongan anggota dll. Namun begitu koperasi ini mampu lagi hidup untuk dapat memberi manfaat kepada semua anggotanya.

Gambar-gambar di bawah ialah antara aktiviti koperasi yang sempat dirakam semasa ia berlangsung. Sebenarnya penglibatan dalam gerakan koperasi ini bagi golongan pesara  ialah untuk mengisi masa lapang, nostalgia perkhidmatan terdahulu, bersosialisasi dengan mantan rakan-rakan sejawatan, berkenalan dengan rakan-rakan baru serta menyumbang bakti untuk kebajikan sesama anggota. Memang tidak dapat dihindarkan isu suka atau duka dalam gerakan koperasi. Sebenarnya itu semua cabaran yang mematangkan dan menajamkan lagi minda dan  jalan fikiran anggota-anggotanya.

Antara Ahli Lembaga Koperasi yang hadir pada
satu Mesyuarat ALK di rumah Pengerusi Hjh Rubiah  

( di tengah bertudung hitam ) di Bandar Indera Mahkota, Kuantan
Untuk membolehkan koperasi bergerak lancar pengurusan mesti memainkan peranan utama. Mesyuarat ialah salah satu daripada alat penting untuk menguruskan satu-satu koperasi di samping perkhidmatan yang menarik dan berfaedah kepada semua anggota. Walaupun tujuan utama koperasi bukan untuk mencari keuntungan yang banyak, manfaat kepada para anggota menjadi fokus perkhidmatannya. Jadi wujudlah pelbagai koperasi seperti koperasi pengguna, perkhidmatan pinjaman / kredit, perladangan, perikanan, runcit, perkhidmatan katering, pembersihan dll. Koperasi kami berfokus kepada perkhidmatan bekalan bahan cucian, jualan kuih muih, simpanan & pelaburan saham bagi menjana pendapatan. 

Gambar-gambar di bawah ialah antara beberapa aktiviti koperasi kami yang telah berjaya dilangsungkan. Semuanya bagi saya menimbulkan nostalgia kepada peristiwa masa lalu. 

Pertama suasana ketika anggota Koperasi Pertiwi Melayu Pahang Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2012 pada 19.5.2012, di Dewan Mesyuarat Koperasi Guru-Guru Melayu Pahang Timur di 162, Tingkat 1, Jalan Besar, Kuantan, Pahang. Aktiviti seperti ini mengimbas kembali kenangan semasa menghadiri perjumpaan kendalian jabatan dan mesyuarat koperasi sekolah semasa berkhidmat dahulu.
Anggota menandatangani buku kahadiran

Antara Ahli Lembaga Koperasi dan anggota yang hadir
berposing sebelum mesyuarat dimulakan.....

Gelagat ahli-ahli ketika mesyuarat berlangsung -
meneliti dokumen mesyuarat & berbincang dengan rakan

Suasana semasa mesyuarat berlangsung
Gambar-gambar berikut pula menunjukkan aktiviti urusniaga Koperasi yang disertai ketika Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Perkhidmatan Pendidikan Melayu Pahang Timur Berhad pada 19.5.2013 di Dewan Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Koperasi Pertiwi menyewa satu tapak gerai untuk menjual produk yang dibekalkan oleh pembekal terpilih dengan mengenakan peratus bayaran tertentu sebagai sumber pendapatan di samping produk yang diusahakan sendiri. Aktiviti ini ala-ala urusan jual beli di gerai / bazar Ramadhan dan juga aktiviti urusniaga ketika sekolah mengadakan Hari Ko-Kurikulum @ Hari koperasi @ Hari Usahawan Muda. Sebenarnya ketika acara seperti ini kita berpeluang untuk membeli produk-produk yang tiada di supermarket dan kedai runcit biasa dengan kadar harga yang berpatutan.

Antara produk jualan..... roti Mama Bake, kuih muih
 seperti kuih bakar, karipap, krim puff, bingka, kuih talam, 
kerepek ubi / pisang, air mineral dll...

Roti Mama Bake menarik perhatian ramai pelanggan..

Petugas Mama Bake dan Ahli Lembaga Koperasi
Pertiwi bersiap sedia menjalankan urusan jualan..

Suasana di gerai-gerai jualan di luar dewan....
ada yang menjual kasut, pakaian, promosi jualan rumah, 
pelaburan bank, produk kesihatan, caruman insuran dll.

 Pn Badarjat, Pn Asiah & Pn Rosnah ( ALK ) bertugas di gerai jualan 
Koperasi Pertiwi

Antara gelagat petugas semasa melayan dan menunggu
pelanggan yang mengunjungi gerai.....
Untuk memantapkan kemahiran dan pengetahuan anggota pengurusan dan ahli-ahli koperasi pula, kerapkalilah mereka dijemput menghadiri kursus, bengkel, latihan, seminar, mesyuarat peringkat daerah, negeri, kebangsaan anjuran ANGKASA, SKM, Maktab Kerjasama Malaysia ( MKM ), KPDNKK dll. Gambar-gambar di bawah adalah paparan salah satu aktiviti bengkel di Kursus Penulisan Minit Mesyuarat anjuran Angkasa di Megaview Hotel Kuantan pada 18 Disember 2013 lalu yang disertai oleh 2 orang ALK dari koperasi ini, saya dan Hjh Abidah       ( berbaju kuning berbunga coklat ).
                 
Perbincangan kumpulan disertai oleh peserta daripada beberapa
koperasi berlainan...

Kumpulan terdiri daripada 6 - 7 orang sedang membincangkan topik
yang ditetapkan oleh penceramah kursus...
Gambar-gambar di bawah pula menunjukkan persembahan hasil perbincangan kumpulan. Pembentangan tersebut menjadi landasan yang sudah tentu akan mencetuskan idea untuk menguruskan koperasi masing-masing selepas itu.

Wakil kumpulan menerangkan ide kumpulannya seperti yang
kerapkali dilalui dalam aktiviti mana-mana perbengkelan berpandukan

catatan di kertas mahjung...

Pembentangan kumpulan dengan kelengkapannya yang perlu
dikendalikan oleh setiap peserta secara bekerjasama
Rumusannya penglibatan dalam koperasi membolehkan kita menyibukkan diri dengan sesuatu yang berfaedah sehingga tidaklah terasa sunyi bagi yang telah biasa aktif dan sibuk bekerja dahulu. Selain daripada itu, melalui gerakan koperasi kita boleh melaksanakan tanggungjawab kebajikan dan amal jariah dengan menginfakkan wang secara waqaf melalui skim anjuran ANGKASA seperti Skim Infaq Lil Waqaf secara bayaran tunai, potongan gaji, wang pos @ cek. Dengan pengenalan Bank Koperasi Syariah terjaminlah simpanan dan pelaburan anggota dalam koperasi mengikut syariat Islam. Koperasi juga boleh menguruskan bayaran zakat perniagaan melalui ANGKASA yang menjadi wakil amil Pusat Kutipan Zakat 13 buah negeri di Malaysia. Bukan itu sahaja dengan Sijil Pematuhan dan Audit Syariah yang diperkenalkan, terjaminlah transaksi mengikut garis panduan syariah dan produk-produk yang dikeluarkan patuh syariah. Dengan kewujudan projek sedemikian nyatalah pergerakan koperasi di negara ini sekarang bukan lagi mengutamakan keuntungan dunia semata-mata tetapi juga membina saham di akhirat. Hal yang sedemikian berjaya memperluaskan lagi pengaruh koperasi ke masjid-masjid dengan penubuhan Koperasi Kariah Masjid. Bagi pembaca yang berminat berdaftarlah dengan mana-mana koperasi yang ada untuk sama-sama membantu pembangunan masyarakat.


Sebagai penutup kata, pada tahun 2014 ini dan seterusnya fokus koperasi kami ialah untuk mencari jalan meningkatkan usahaniaga dan perkhidmatan sehingga kami mampu membahagikan keuntungan dan dividen kepada semua anggota setiap tahun. Didoakan koperasi kami sentiasa maju dan berkembang untuk kepentingan semua anggota. Insya'Allah..........