Saturday 1 February 2014

KOPERASI OH KOPERASI!!!!!!!!!!!!!!!

Umumnya kita semua biasa mendengar istilah " Syarikat Kerjasama " - syarikat yang biasanya memberi pinjaman wang untuk melanjutkan pelajaran, perkahwinan, membeli rumah, kenderaan, membeli peralatan rumah dsb kepada ahli-ahlinya. Konsepnya kerjasama dan kerja sama-sama dan untung-rugi bersama-sama. Sekarang syarikat sedemikian dikenali dengan nama Koperasi. Pertubuhan ini dinaungi oleh ANGKASA ( Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad ), Suruhanjaya Koperasi Malaysia ( SKM ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi ( KPDNKK ).

Sebenarnya banyak ilmu dan faedah yang boleh kita perolehi melalui kegiatan koperasi. Di sini saya ingin berkongsikan pengalaman mengenai penglibatan saya dalam gerakan Koperasi Pertiwi Melayu Pahang Berhad yang berusia 5 tahun dengan bilangan ahli 50 orang. Kebanyakan ahlinya sekarang terdiri daripada guru dan staf sokongan wanita Melayu yang telah bersara dan masih berkhidmat di samping suri-suri rumahtangga walaupun keanggotaan koperasi ini terbuka kepada semua wanita Melayu pelbagai profesion dan status. Penglibatan saya dalam koperasi ini selaku Setiausaha pun baru bermula pada tahun 2010. Jadi belumlah banyak sumbangan yang dapat diberikan memandangkan adanya kekangan waktu, kewangan, tenaga, sokongan anggota dll. Namun begitu koperasi ini mampu lagi hidup untuk dapat memberi manfaat kepada semua anggotanya.

Gambar-gambar di bawah ialah antara aktiviti koperasi yang sempat dirakam semasa ia berlangsung. Sebenarnya penglibatan dalam gerakan koperasi ini bagi golongan pesara  ialah untuk mengisi masa lapang, nostalgia perkhidmatan terdahulu, bersosialisasi dengan mantan rakan-rakan sejawatan, berkenalan dengan rakan-rakan baru serta menyumbang bakti untuk kebajikan sesama anggota. Memang tidak dapat dihindarkan isu suka atau duka dalam gerakan koperasi. Sebenarnya itu semua cabaran yang mematangkan dan menajamkan lagi minda dan  jalan fikiran anggota-anggotanya.

Antara Ahli Lembaga Koperasi yang hadir pada
satu Mesyuarat ALK di rumah Pengerusi Hjh Rubiah  

( di tengah bertudung hitam ) di Bandar Indera Mahkota, Kuantan
Untuk membolehkan koperasi bergerak lancar pengurusan mesti memainkan peranan utama. Mesyuarat ialah salah satu daripada alat penting untuk menguruskan satu-satu koperasi di samping perkhidmatan yang menarik dan berfaedah kepada semua anggota. Walaupun tujuan utama koperasi bukan untuk mencari keuntungan yang banyak, manfaat kepada para anggota menjadi fokus perkhidmatannya. Jadi wujudlah pelbagai koperasi seperti koperasi pengguna, perkhidmatan pinjaman / kredit, perladangan, perikanan, runcit, perkhidmatan katering, pembersihan dll. Koperasi kami berfokus kepada perkhidmatan bekalan bahan cucian, jualan kuih muih, simpanan & pelaburan saham bagi menjana pendapatan. 

Gambar-gambar di bawah ialah antara beberapa aktiviti koperasi kami yang telah berjaya dilangsungkan. Semuanya bagi saya menimbulkan nostalgia kepada peristiwa masa lalu. 

Pertama suasana ketika anggota Koperasi Pertiwi Melayu Pahang Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2012 pada 19.5.2012, di Dewan Mesyuarat Koperasi Guru-Guru Melayu Pahang Timur di 162, Tingkat 1, Jalan Besar, Kuantan, Pahang. Aktiviti seperti ini mengimbas kembali kenangan semasa menghadiri perjumpaan kendalian jabatan dan mesyuarat koperasi sekolah semasa berkhidmat dahulu.
Anggota menandatangani buku kahadiran

Antara Ahli Lembaga Koperasi dan anggota yang hadir
berposing sebelum mesyuarat dimulakan.....

Gelagat ahli-ahli ketika mesyuarat berlangsung -
meneliti dokumen mesyuarat & berbincang dengan rakan

Suasana semasa mesyuarat berlangsung
Gambar-gambar berikut pula menunjukkan aktiviti urusniaga Koperasi yang disertai ketika Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Perkhidmatan Pendidikan Melayu Pahang Timur Berhad pada 19.5.2013 di Dewan Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Koperasi Pertiwi menyewa satu tapak gerai untuk menjual produk yang dibekalkan oleh pembekal terpilih dengan mengenakan peratus bayaran tertentu sebagai sumber pendapatan di samping produk yang diusahakan sendiri. Aktiviti ini ala-ala urusan jual beli di gerai / bazar Ramadhan dan juga aktiviti urusniaga ketika sekolah mengadakan Hari Ko-Kurikulum @ Hari koperasi @ Hari Usahawan Muda. Sebenarnya ketika acara seperti ini kita berpeluang untuk membeli produk-produk yang tiada di supermarket dan kedai runcit biasa dengan kadar harga yang berpatutan.

Antara produk jualan..... roti Mama Bake, kuih muih
 seperti kuih bakar, karipap, krim puff, bingka, kuih talam, 
kerepek ubi / pisang, air mineral dll...

Roti Mama Bake menarik perhatian ramai pelanggan..

Petugas Mama Bake dan Ahli Lembaga Koperasi
Pertiwi bersiap sedia menjalankan urusan jualan..

Suasana di gerai-gerai jualan di luar dewan....
ada yang menjual kasut, pakaian, promosi jualan rumah, 
pelaburan bank, produk kesihatan, caruman insuran dll.

 Pn Badarjat, Pn Asiah & Pn Rosnah ( ALK ) bertugas di gerai jualan 
Koperasi Pertiwi

Antara gelagat petugas semasa melayan dan menunggu
pelanggan yang mengunjungi gerai.....
Untuk memantapkan kemahiran dan pengetahuan anggota pengurusan dan ahli-ahli koperasi pula, kerapkalilah mereka dijemput menghadiri kursus, bengkel, latihan, seminar, mesyuarat peringkat daerah, negeri, kebangsaan anjuran ANGKASA, SKM, Maktab Kerjasama Malaysia ( MKM ), KPDNKK dll. Gambar-gambar di bawah adalah paparan salah satu aktiviti bengkel di Kursus Penulisan Minit Mesyuarat anjuran Angkasa di Megaview Hotel Kuantan pada 18 Disember 2013 lalu yang disertai oleh 2 orang ALK dari koperasi ini, saya dan Hjh Abidah       ( berbaju kuning berbunga coklat ).
                 
Perbincangan kumpulan disertai oleh peserta daripada beberapa
koperasi berlainan...

Kumpulan terdiri daripada 6 - 7 orang sedang membincangkan topik
yang ditetapkan oleh penceramah kursus...
Gambar-gambar di bawah pula menunjukkan persembahan hasil perbincangan kumpulan. Pembentangan tersebut menjadi landasan yang sudah tentu akan mencetuskan idea untuk menguruskan koperasi masing-masing selepas itu.

Wakil kumpulan menerangkan ide kumpulannya seperti yang
kerapkali dilalui dalam aktiviti mana-mana perbengkelan berpandukan

catatan di kertas mahjung...

Pembentangan kumpulan dengan kelengkapannya yang perlu
dikendalikan oleh setiap peserta secara bekerjasama
Rumusannya penglibatan dalam koperasi membolehkan kita menyibukkan diri dengan sesuatu yang berfaedah sehingga tidaklah terasa sunyi bagi yang telah biasa aktif dan sibuk bekerja dahulu. Selain daripada itu, melalui gerakan koperasi kita boleh melaksanakan tanggungjawab kebajikan dan amal jariah dengan menginfakkan wang secara waqaf melalui skim anjuran ANGKASA seperti Skim Infaq Lil Waqaf secara bayaran tunai, potongan gaji, wang pos @ cek. Dengan pengenalan Bank Koperasi Syariah terjaminlah simpanan dan pelaburan anggota dalam koperasi mengikut syariat Islam. Koperasi juga boleh menguruskan bayaran zakat perniagaan melalui ANGKASA yang menjadi wakil amil Pusat Kutipan Zakat 13 buah negeri di Malaysia. Bukan itu sahaja dengan Sijil Pematuhan dan Audit Syariah yang diperkenalkan, terjaminlah transaksi mengikut garis panduan syariah dan produk-produk yang dikeluarkan patuh syariah. Dengan kewujudan projek sedemikian nyatalah pergerakan koperasi di negara ini sekarang bukan lagi mengutamakan keuntungan dunia semata-mata tetapi juga membina saham di akhirat. Hal yang sedemikian berjaya memperluaskan lagi pengaruh koperasi ke masjid-masjid dengan penubuhan Koperasi Kariah Masjid. Bagi pembaca yang berminat berdaftarlah dengan mana-mana koperasi yang ada untuk sama-sama membantu pembangunan masyarakat.


Sebagai penutup kata, pada tahun 2014 ini dan seterusnya fokus koperasi kami ialah untuk mencari jalan meningkatkan usahaniaga dan perkhidmatan sehingga kami mampu membahagikan keuntungan dan dividen kepada semua anggota setiap tahun. Didoakan koperasi kami sentiasa maju dan berkembang untuk kepentingan semua anggota. Insya'Allah..........

6 comments:

  1. Tahniah dan syabas Setiausaha Koop Pertiwi.... Terus maju ......isy....,macam nama biasa dengar aje!

    ReplyDelete
  2. Tkasih.. mmg dah selalu sebut pun...nama biasa aje....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maksud saya "Terus maju", nama sebuah kedai serba ada, kan?

      Delete
    2. Oh supermarket Terus Maju.. mmg terus maju sekarang & kerap dikunjungi sbb hampir dgn rumah.....

      Delete
  3. Moga terus maju dan terus maju :D

    ReplyDelete
  4. Hello, Saya Puan Sandra Ovia, wang pemberi pinjaman swasta, adakah anda dalam hutang? Anda memerlukan rangsangan kewangan? kami juga menyediakan pinjaman akhir tahun, pinjaman untuk christmas pakej, tahun baru, seorang sehingga bil anda, mengembangkan perniagaan anda dan juga untuk pengubahsuaian rumah anda. Saya memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat tempatan, antarabangsa dan juga pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Anda boleh menghubungi kami melalui E-mel: (sandraovialoanfirm@gmail.com)
    Anda dipersilakan untuk syarikat pinjaman kami dan kami akan memberikan anda perkhidmatan yang terbaik kami.

    ReplyDelete