Wednesday, 6 November 2013

MAJLIS AQIQAH ZARA...


Di sinilah pada hari Sabtu 19.10.2013 yang lalu jam 10 pagi, makcik saya mengadakan Majlis Aqiqah cucu perempuannya Zara Adeena yang berusia lebih kurang 6 bulan sempena pindah rumah baru anak perempuannya, Inah. Jika masih ingat dalam posting terdahulu saya ada mengisahkan Majlis Kesyukuran dan Cukur Jambul Zara di rumahnya di Gombak, Kuala Lumpur. Jadi Majlis Aqiqah ini adalah majlis keraiannya yang kedua. Dalam posting terdahulu juga saya memaparkan Majlis Masuk Rumah Baru yang berlangsung secara kecil-kecilan di rumah yang sama. Yang ingin saya sampaikan di sini ialah betapa banyak dan indahnya adat resam masyarakat Melayu yang boleh menjadi ikutan kita semua asalkan kita dapat menyesuaikan dengan keperluan kita masing-masing.

Majlis Aqiqah ini diserikan dengan acara bacaan Surah Yasin, Tahlil, Marhaban, memperkenalkan si cilik kepada tetamu dan jamuan makan. Majlis Bacaan Yasin diketuai oleh Uztazah Rashidah bt Osman dengan kumpulan marhabannya seramai lebih 10 orang ( Kak Nah salah seorang ahlinya ) dan disertai oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat-sahabat karib yang dapat meluangkan masa mereka pada hari itu. Kumpulan ini telah mendendangkan beberapa lagu nasyid dan Selawat Nabi untuk hiburan semua. Sementara majlis jamuan makan yang diadakan selepas 12 tengahari telah diserikan dengan kehadiran saudara mara dan rakan-rakan keluarga lainnya. Majlis seperti ini adalah peluang untuk berkumpul, bertemu dengan saudara serta rakan  taulan, bertanya khabar sambil mengukuhkan tali sillaturrahim.

Sebenarnya sudah menjadi kemestian dan kewajipan bagi semua ibubapa mengaqiqahkan anak-anak yang dilahirkan bagi memenuhi tuntutan salah satu ibadah sebagai  penganut agama Islam. Ia dilaksanakan dengan menyembelih haiwan pilihan samada lembu atau kambing ( pilihan ikut kemampuan keluarga ) dan diniatkan sebagai aqiqah bagi anak / anak-anak berkenaan yang sebaiknya diadakan semasa mereka masih bayi lagi umur mulai 7 hari. Haiwan itu adalah pahala bagi kanak-kanak itu di akhiratnya kelak. Haiwan sembelihan itu akan dimasak mengikut menu yang sesuai biasanya gulai, opor, rendang dan sebagainya. Satu peringatan masakan daging aqiqah itu hanya boleh dijamukan kepada penganut Islam sahaja. Jika ada tetamu terdiri daripada penganut agama lain, biasanya keluarga kanak-kanak berkenaan akan menyediakan masakan berlainan seperti masakan ayam, ikan atau daging lembu atau kambing lain secara berasingan. Lain-lain upacara yang mengiringi majlis aqiqah yang biasa dilakukan seperti yang disenaraikan di atas adalah sebagai penyeri majlis itu sahaja, bukan satu kemestian. Seperkara lagi majlis ini ada juga dilakukan serentak dengan majlis perkahwinan anggota keluarga kanak-kanak jika bertepatan dengan tarikh kelahirannya, sebagai langkah penjimatan perbelanjaan, waktu dan tenaga. Jika berkemampuan tidak salah mengadakan majlis yang berasingan.

Pelamin Buaian disediakan di ruang tamu rumah.
tuntutan budaya semata bukan wajib diadakan
( Sekadar memenuhi hajat keluarga )

Foto-foto berikut adalah gambaran suasana semasa majlis aqiqah itu berlangsung. Lihatlah persembahan kumpulan marhaban dan penyertaan kaum keluarga dan handai taulan yang hadir.

Majlis Bacaan Surah Yasin pimpinan Uzt Rashidah ( kiri sekali )
Antara kaum keluarga besan makcik yang hadir dan turut
serta membaca Yasin yang bacaannya disedekahkan 
kepada kaum keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah.
Keluarga dan rakan yang turut membaca Surah Yasin
( Turut hadir rakan karib saya Hjh Abidah berbaju biru  
dan Hjh Noraleena bertudung kelabu. Terima kasih  )
Majlis membaca Yasin sedang berlangsung

Ahli-ahli kumpulan marhaban mulai membuat persembahan.
Adik tuan rumah duduk tengah di barisan belakang

Kaum keluarga yang mengikuti acara.
Dua dari kiri Inah ( tuan rumah ) 
Uzt Rashidah membuat persembahan marhaban .....

Kaum keluarga menghayati nyanyian marhaban..
              
Giliran Kak Nah mendendangkan lagu marhabannya

Anggota kumpulan sedang mendendangkan lagu marhaban
mengikut giliran ditentukan
Ibu dan ibu-ibu saudara turut mengikuti acara...
Uzt Rashidah meneruskan acara marhaban

Liza mendukung anaknya Zara Adeena
untuk diperkenalkan kepada hadirin......

Persembahan nasid & selawat oleh ahli-ahli marhaban
seperti dalam foto di atas dan di bawah....


Ratna menantu sulung makcik ( kiri sekali )
mendengar dendangan nasyid

Zara Adeena dalam buaiannya
Zara dan ibunya bergambar bersama ahli kumpulan marhaban
Nurul salah seorang cucu makcik

Cucu-cucu saudara yang turut hadir
meraikan majlis Zara Adeena

Zara Adeena bergambar bersama ibu bapanya

Zara Adeena bersama saudara-saudara sepupunya

Makcik kiri sekali bersama kaum keluarga yang hadir
Selepas majlis marhaban selesai diadakan, sudah menjadi adat tetamu dan kaum keluarga dijemput menjamu selera dan menjamah hidangan yang disediakan. Dalam majlis ini, antara menu hidangannya ialah nasi putih, nasi minyak berlaukkan gulai daging kambing aqiqah, masakan ayam, udang, ikan masin, ulam kampung, buah tembikai, limau, puding, minuman jus oren / laici, air mineral dan seumpamanya. Sudah jadi amalan kebanyakan majlis zaman sekarang dikendalikan oleh katerer profesional, tidak seperti majlis jamuan di tahun-tahun 1970 - 1980an yang diuruskan secara gotong royong bersama kaum keluarga dan jiran tetangga. Katering menjadi pilihan kerana pengurusannya yang lebih kemas, rapi dan terancang tanpa memenatkan tuan rumah dan pihak-pihak yang terlibat memasak jamuan sendiri. Dengan itu keluarga boleh memberikan tumpuan seratus peratus kepada acara utama yang diadakan dengan menyertai acara dan meraikan tetamu dalam keadaan lebih tenteram.

Gambaran meja hidangan di porch di luar rumah.
Tetamu sedang mengambil makanan

Zara Adeena didukung ibunya gembira bergambar
bersama dua pupunya yang sebaya dengannya,
Zara Safia yang didukung pula oleh ibu saudaranya Mey.
Akhir kata diharapkan majlis aqiqah ini ada kesinambungannya di kalangan generasi akan datang bukan sekadar budaya ikutan semata-mata tetapi suatu keutamaan dan keperluan yang perlu dititikberatkan supaya kehidupan anak-anak sebagai penganut agama Islam lebih dirahmati Allah swt. Semoga Zara Adeena yang telah diaqiqahkan dengan sembelihan seekor kambing akan hidup seimbang dunia dan juga akhirat. Amiinn.....Insya'Allah!


 

1 comment:

  1. Alhamdulillah.. selamat majlis Zara ye. Semoga membesar jadi anak yang solehah, penyejuk hati ibu ayah ye, syg.

    ReplyDelete