Monday 13 May 2013

SUNGAI KECIL TEMPAT KAMI BERMAIN.........

Sungai yang akan diceritakan ini terletak di hujung tanah rumah kampungku. Kami tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk ke sana memadai dengan berjalan kaki yang memakan masa tidak sampai 5 minit pun. Sungai ini mengalir ke seberang jalan depan tanah rumah kampungku melalui pembetung konkrit bulat sehingga ke Sungai Belat berhampiran Kpg Seri Damai. Punca airnya datang dari kawasan tinggi di hutan berhampiran tanah kampungku dan Sungai Pandan. Di kedua-dua tebingnya tumbuh melata pokok-pokok besar yang merimbun dan menyejukkan persekitarannya.

Dengan wujudnya sungai kecil seperti ini, kanak-kanak seperti kami memang ghairah dan teruja sangat untuk mandi manda di dalamnya. Memang mandi sungai ini hobi kebanyakan kanak-kanak dari dulu hingga sekarang. Betul tak? Saya dan rakan-rakan perempuan yang lain tidak terkecuali. Sungai dekat dengan rumahku itulah yang kerap kami kunjungi.

Bagi kami sungai ini istimewa kerana airnya bersih dan jernih. Dalam airnya tidak seberapa sewaktu cuaca biasa tetapi cukup untuk menenggelamkan kami yang sederhana tinggi, setakat lutut di bahagian rendah, paras dada di bahagian tengah dan seluruh badan boleh ditenggelami  di tempat paling curam. Sebenarnya sungai ini berlekuk di tengahnya sedangkan di hulu dan hujungnya agak rendah. Pada musim hujan atau tengkujuh airnya begitu dalam dan ada kalanya melimpah sehingga ke tebing. Masa ini ibu bapa tidak membenarkan kami mandi manda dibimbangi lemas. 

Biasanya kami bermandi manda bersama-sama rakan-rakan perempuan yang lebih dewasa yang diminta mengawasi keselamatan kami yang masih kecil. Ada masanya kami mandi tanpa segan silu bersama saudara dan rakan-rakan lelaki lain yang sebaya iaitu dalam lingkungan usia 7 - 13 tahun. Memang tiada bikini @ pakaian renang yang sempurna seperti sekarang, memadai dengan seluar pendek, kain sarung bagi yang lebih dewasa dan ada masanya tanpa pakaian terutama bagi yang paling kecil. Ada kalanya kami diawasi juga oleh ibu-ibu atau saudara kami yang lain.

Seperkara lagi mengenai sungai ini ialah pada musim tengkujuh airnya berubah warna sedangkan dasarnya tidak diliputi oleh apa-apa kecuali pasir putih dan daun-daun pokok yang gugur. Masih jelas terpahat dalam fikiranku bukan khayalan, satu ketika air sungai berwarna biru seperti warna biru langit dan biru laut seolah-olah kolam renang moden seperti dalam foto 1 di bawah. Pada ketika lain warnanya hijau tua seperti warna lanskap dan kolam taman di foto 1  atau warna kebanyakan sungai yang belum tercemar. Lain-lain masa warnanya jernih putih. Saat akhir sebelum air sungai itu kering warnanya kuning (keruh) seperti kebanyakan sungai yang sudah tercemar oleh lumpur zaman kini. Lihat foto 2 dan 3 di bawah. Kami tertanya-tanya sesama sendiri mengapakah terjadi demikian? Antara jawapan yang dikemukakan ialah warna biru itu gambaran bayangan warna langit dan warnanya gelap sedemikian kerana banyak air terkumpul. Apabila hijau warnanya dikaitkan pula dengan bayangan warna dedaun hijau pokok-pokok di tebingnya dan sungai sudah mulai berlumut walaupun tidak ketara kewujudannya. Tidak pernah terlintas di fikiran tentang tumbuhan lain-lain rumpai air @ algae pun! Warna kuning disebabkan mendapan lumpur yang banyak akibat tanah runtuh di kawasan ulu sungai yang mula dibangunkan sebagai kawasan kebun getah. Entahlah! Kami tidak pasti jawapan itu tepat @ tidak kerana tidak pernah bertanya kepada guru sekolah dan orang bijak pandai. Lama kelamaan soalan itu diabaikan begitu sahaja,



Foto 1 : Kolam renang dan lanskap taman salah satu  hotel 
penginapan semasa Persidangan Pengurusan 
Pendidikan 

Kebangsaan semasa berkhidmat dahulu.

( Tidak terlintas dalam fikiran akan bersua dengan kolam mandi 
seperti ini dulu sebab tiada exposure pun )
Pada keseluruhannya, kami memang seronok mandi sungai sambil main tampar air, merenjis air ke muka kawan, belajar berenang dan menyelam sambil menahan nafas dalam air. Kadang-kadang kami bertanding siapa boleh menahan nafas paling lama dalam air dan berlumba berenang dari tebing ke tebing. Bagi yang lelaki pula mereka seronok terjun dari tempat tinggi di sebelah ulu sungai dan berenang  macam memerang. Masa itu kami tidak tahu pun aktiviti air seperti menahan nafas dalam air adalah salah satu teknik untuk nafas lebih panjang dan melancarkan cara bacaan Al-Quran. Begitu juga berenang baik untuk kesihatan jantung kerana darah akan mengepam dengan lancar. Selain daripada itu kami suka melihat ikan-ikan kecil berenang-renang dan bersembunyi di sebalik akar-akar dan daun-daun kayu di dasar sungai. Ada masanya ikan kecil ini pun berenang riang bersama-sama kami sambil menggigit kaki seperti perawatan dengan ikan yang dilakukan di setengah SPA Kecantikan sekarang ini. Sesetengah kami pula menangkap ikan kecil menggunakan kain sarung sebagai jala dan meletakkannya dalam balang @ botol air di rumah. 


Foto 2 : Sungaiku lebih kurang beginilah tetapi lebih kecil. 

Pembetungnya bulat tidak  persegi. Program ini memang

menimbulkan nostalgia ke zaman kanak-kanak dulu. 
Apabila hujan musim tengkujuh reda ramai yang datang 
untuk melihat aliran air & orang menangkap ikan di air yang
jernih.


Foto 3 : Foto ini bukan gambaran aktiviti di sungaiku 

tetapi lokasi aktiviti-aktiviti Kem Motivasi 
di Taman 

Pertanian 
Kuantan, yang dihadiri oleh para
 pelajar  

SPM SMK Seri Panching, 
Jika diimbas kembali kepada masa lalu itu, alangkah indahnya masa itu! Tetapi semuanya itu tinggal kenangan selepas kebanyakan kami mulai menginjak remaja, bersekolah menengah di bandar, bekerja dan seterusnya berkahwin. Apabila sungai mulai dipenuhi daun-daun gugur, berlumpur seperti dalam foto 2 & 3 dan airnya semakin cetek dan berbau, kami tidak lagi bermandi manda di dalamnya. Ianya terbiar sepi dan akhirnya kering sendiri terutama apabila alirannya disekat untuk pembangunan kawasan dan punca airnya mulai kering. Sungai itu pun menjadi sejarah dalam ingatan kami semua. 

Walaupun sungai itu sudah berkubur dengan kemajuan dan pembangunan kawasan sekitarnya, kami terutamanya saya amat bersyukur mendapat peluang seperti di atas. Apa yang kami alami memanglah tidak seindah pengalaman mandi manda di kolam renang buatan seperti di hotel, yang dilihat apabila berkunjung untuk urusan kerja dan percutian keluarga atau kolam di rumah persendirian yang mewah seperti ditonton melalui siaran sinetron / drama tempatan. 

" Sungai dengan bentuknya yang tersendiri tentulah ada keunikannya yang tertentu..... Pengalaman bermain di dalamnya amat indah dan tidak terlupakan  "






2 comments:

  1. Cuja,
    Eeee syoknya budak-budak dulu, mandi sungai beramai-ramai. Satu pengalaman yang indah!

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.....Pengalaman kami dulu-dulu & anak cucu kami sekarang memang berbeza. Maklumlah zaman dah berubah.....dulu lain sekarang lain....Dulu tradisional sekarang moden...Ya kan?

    ReplyDelete