Friday, 13 September 2013

HCMC 24 - 27 JUN 2013......

Kali ini saya ingin mengimbas kembali kenangan percutian di HCMC pada 24 hingga 27 Jun 2013 lalu. Tahun lepas ada juga yang mempelawa mengikuti rombongan lawatan ke bandaraya ini tetapi disebabkan sesuatu halangan yang tak dapat dielakkan pelawaan itu ditolak. Tapi kali ini pelawaan Kak Saba kami sahut dengan bayaran RM1,200.00 seorang.

Saya dengan kak Maznah, Nor sepupu dan Abidah rakan memutuskan untuk mengikuti rombongan ini yang sambil melawat tempat-tempat bersejarah akan membeli belah sakan khabarnya di bandaraya ini yang dikatakan " syurga membeli belah."

Pada hari Ahad 23 Jun, 9.30 malam kami bertolak ke K.Lumpur dengan menaiki bas Transnasionai. Sebelum bertolak dari Terminal Bas Kuantan ( pada masa itu terminal sementara masih di perkarangan Stadium Darul Makmur ), kami berkenalan dengan lain-lain anggota rombongan. Dalam ramai-ramai anggota rombongan itu kami dipertemukan dengan Normah Mohamad  yang bertalian saudara melalui perkahwinan arwah sepupu dengan kakaknya. Riuh jugalah seketika dengan kebetulan itu. Subhanallah! tak menyangka berpeluang bercuti dengan saudara. Syukur! tidaklah terasing menyertai rombongan tersebut. Sampai masa bas pun bertolak dari Kuantan dan perjalanannya ke Kuala Lumpur lancar sekali.

Kami tiba di stesen bas Jalan Pekeliling jam 1.30 pagi Isnin 24 Jun. Kemudian kami menaiki 3 buah van ke LCCT Sepang dan tiba kira-kira jam 3 pagi. Sempatlah bersarapan sebelum check in bagasi jam 4.30 pagi dan solat Subuh pagi itu. Rombongan kami seramai 21 orang menaiki penerbangan Air Asia AK1450 ke HCMC ( Saigon ) jam 7.05 pagi. Dalam kapalterbang kami dijamu dengan makanan nasi lemak yang telah dipesan lebih awal oleh pengurus lawatan ( En. Rozlan Ahmad ). Penerbangan selama 2 jam tidak begitu terasa lama kerana sibuk dengan aktiviti membaca, makan minum, tidur dan bagi yang duduk di tepi tingkap berpeluang melihat keindahan awan ciptaan Allah swt.

Kami mendarat dengan selamat di Tan Son Nhat Airport Vietnam jam 8.05 ( waktu tempatan ) Agak lama juga kami menunggu di airport itu selepas check out bagasi selesai sebab bas agak lambat menjemput kami ke hotel penginapan iaitu Hotel Thanh Thu, 34 Nguyen An Ninh, District 1 HCMC, Vietnam. Oleh kerana kami sampai agak awal dan check in hotel  mulai jam 2 pm kami pun berligar-ligar di kedai-kedai berhampiran sambil mencari kedai makan Islam (halal). Tidaklah susah mencari restoran yang sesuai di bandaraya bukan Islam ini. Kami makan di Restoran Basiroh yang terletak di blok depan hotel penginapan. Memang selesa sungguh aturannya.  Kemudian selepas check in, kami shopping di Pasar Benh Thant yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja untuk membeli pakaian kurung, jubah, kain ela bermanik-manik, berkristal dan jahit sulam yang menarik, telekung, asessori rumah dll. Di pasar ini ada kedai yang boleh menerima tempahan menjahit pakaian siap pada hari itu juga dengan khidmat penghantaran selepas siap jahitan ke hotel pelanggan malam itu atau keesokan harinya. Ada juga peniaga di sini yang mahu menerima RM semasa urusan jual beli. Mudahnya, pastikan saja bawa banyak RM.... 

Keesokannya Selasa 25 Jun rombongan dibawa melawat Delta Mekong. Kami berlima iaitu Kak Saba, Kak Nah, Nor, Abidah dan saya dengan izin ketua rombongan tidak menyertai. Sebab ada yang sakit lutut, fobia dengan sungai dll. Sebaliknya kami membuat keputusan untuk shopping di Butik Pakaian Pn Hjh Maimunah ( Ralat Pn Hjh Mariam sebenarnya ). Kami ke sana dengan teksi ( van ) dengan iringan seorang pemandu pelancong. Terima kasih kepada Pn. Hawa (  isteri seorang Imam yang bekerja sambilan memandu pelancong. Di sana kami berpeluang melihat pelbagai rekaan telekung dan jubah yang menarik dan sempat juga membeli beberapa pasang telekung dan pakaian. Sebelum itu kami dibawa ke Plaza untuk membeli pakaian siap seperti T-Shirt dan baju kurung moden dan tradisional yang dihias dengan manik-manik. Pelbagai asesori wanita seperti gelang, cincin, brooch, jam dll juga kedapatan di sini. Sedia Dong Vietnam @ USD sajalah semuanya beres.

Hari Rabu 26 Jun jam 8 pagi kami dibawa melawat tempat bersejarah Cu Chi Tunnel, medan perang yang memang menarik dan mengerikan. Di situ kami diberi penerangan oleh pemandu pelancong bekas tentera yang fasih bertutur Bahasa Inggeris stail Vietnam-Amerika. Beliau sanggup memotong jari tengah salah satu tangannya kerana tidak mahu membidik senapang berperang kira-kira 40 tahun lalu. Kami dibawa ke Ben Dinh Underground Tunnel Complex yang dipenuhi dengan bangsal-bangsal kayu beratapkan daun nipah. Di situ kami dibawa menonton tayangan dokumentari sejarah dan melawat bangsal-bangsal tempat tidur, tempat memasak, tempat sarapan, menjahit pakaian, bilik mesyuarat yang semuanya gelap tanpa cahaya letrik/pelita hanya bergantung kepada cahaya matahari dan bulan. Kami berpeluang memerhati dengan mata kepala sendiri lubang-lubang bawah tanah tempat persembunyian dan taktik peperangan melawan musuh. Yang paling berkesan ialah lubang persembunyian yang ditutupi dengan daun-daun kering bagi mengabui mata musuh, jerangkap bercerucuk besi yang mengerikan ketika membayangkan musuh yang terpijaknya dan lubang kecil bawah tanah tempat memasukkan bahan mengesan musuh (antaranya racun / ular berbisa ) yang boleh membunuh mangsa ( tentera Vietcong ). Alangkah dahsyatnya akibat dan kesan peperangan. Berdamailah manusia sejagat sekelian. Di kompleks ini terdapat juga lapangan latihan menembak yang berfungsi ketika kami di sana. Bunyi berbalas-balas tembakan jelas kedengaran seolah-olah gambaran waktu peperangan Amerika - Vietcong di masa lampau. 

Sebelum itu kami dibawa melawat Handicapped Handicrafts Centre yang pekerja-pekerjanya majoriti terdiri daripada mangsa perang "orange ". Antaranya ada yang cacat fizikal / OKU yang telah dilatih sehingga pakar membuat kraf seperti pasu tembikar, lukisan, hiasan dinding dll yang indah dan bermutu tinggi. Pusat ini memang menjadi tumpuan para pelancong serata dunia yang datang dengan bas, van dan kereta pelancongan. 

Dalam perjalanan balik ke hotel selepas lawatan berkenaan kami singgah di Restoran Haji Shamsuddin keturunan Indonesia yang telah menetap di HCMC, untuk makan tengahari. Memang menarik kedai itu dengan hiasan bercorak keIslaman dan makanan yang lazat terutama kuih bingka ubinya yang enak serta harga yang berpatutan. Oh ya, makan minum semasa lawatan ke Vietnam ini tanggungan sendiri tidak termasuk dalam harga pakej. Pemilik dan petugas restoren ini bertutur bahasa Melayu loghat Melayu Champa dan tidak bahasa ibunda asalnya lagi.

Selepas itu kami singgah di Pasar China Town yang padat dengan produk jualan kain baju, pakaian, pelbagai beg tangan, beg pakaian dsbnya. Berebut-rebutlah penjual mencari pelanggan dengan pelbagai strategi jualan, Memang terpedaya juga kita dibuatnya sehingga membeli juga beberapa pasang pakaian.

Malamnya kami berjalan-jalan melihat pasar malam berhampiran Pasar Benh Thant dan sempat membeli T Shirt, alas meja, beg galas, table runner, tudung dan seumpamanya. Sempat juga kami melihat tindakan petugas Dewan Bandaraya merampas gerai jualan peniaga tanpa izin. Dalam hati belas juga melihat peniaga berkenaan tetapi apakan daya yang salah tetap salah dan pesalah kena akurlah dengan tindakan undang-undang negara mereka. Di negara kita pun ada yang diambil tindakan sedemikian. ( Terkenang pula peristiwa semasa mengerjakan umrah 2007 & 2008 di mana kejadian serupa berlaku apabila penjual jalanan berkulit hitam sentiasa dihambat oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana berjualan tanpa izin ). Yang lucunya ada yang lari lintang pukang dan sempat menyembunyikan dagangan sebelum pihak berkuasa datang merampas jualan mereka. Seperkara lagi kebetulan malam itu kawasan itu bergelap akibat "blackout". Malam itu juga kami menjamu selera dengan beberapa biji durian yang dibeli daripada penjual tepi jalan dan terus makan di situ dalam suasana hujan renyai-renyai.

Sebenarnya malam itu kami berempat saya, kak Nah, Nor dan Abidah berpindah menginap di hotel berhampiran kerana bilik hotel kami berempat telah ditempah awal oleh pihak lain. Kami ditempatkan di hotel Han Long berselang satu kedai dengan Hotel Thanh Thu dalam dua bilik berlainan yang juga selesa.  Keesokannya  Khamis 27 Jun pagi-pagi lagi kami bersiap sedia untuk check out dan bersiap untuk menaiki bas ke lapangan terbang HCMC jam 11 pagi. Semasa menunggu bas sempat lagi membeli cenderahati yang tak sempat dibeli semalam dari kedai-kedai berhampiran.

Penerbangan balik juga lancar dan selamat. Kami menaiki penerbangan Air Asia AK1457 jam 1.25 petang dan tiba di LCCT Sepang kira-kira jam 4 petang. Selepas check out kira-kira jam 5 ptg kami menaiki 3 van berasingan untuk ke Pudu Sentral bagi menaiki bas Transnasional 8.30 malam ke Kuantan. Untuk pengetahuan terminal bas ini telah direnovasi, moden dan bersih. Satu yang kurang memuaskan ialah agak sukar mengangkat bagasi berat / besar turun ke platform bas. Nasib baik ada seorang lelaki yang budiman yang membantu mengangkat turun beg besar kami warga emas yang kurang mampu mengheret beban berat ( Terima kasih kepada orang muda beranak satu dan isterinya ) Untuk menaikkan bagasi dari lobi terminal ke aras 1 tempat menunggu berlepas tidak bermasalah kerana beg boleh diletakkan di tangga accelerator yang bergerak secara otomatik. Di terminal kami sempat berehat, bersolat jamak qasar Maghrib - Isya' dan makan minum. Syukur, perjalanan balik ke Kuantan pun selamat dan lancar sehingga kami sampai ke rumah masing-masing kira-kira 12.30 tengah malam. " Home sweet home "

Sekianlah penceritaan semasa di HCMC. Foto-foto iringan ini diharap dapat membantu menjelaskan peristiwa semasa di sana.

Susunan bagasi kami berlima semasa 
menunggu bas untuk ke hotel....

Hotel San Tu ( ikut sebutan )

Di lobi hotel semasa menunggu masuk bilik...

Antara pakaian kurung moden yang dijual 
berhiaskan manik / batu kristal / bersulaman 
di Butik Pakaian Hajah Maimunah  .....

Pakaian kurung moden dan tudung bergantungan 
untuk pilihan pembeli......

Pilih jangan tak pilih..
Beli jangan tak beli..
Biar sesal membeli,
Jangan kesal tak membeli..
Sesal kemudian tak berguna...
Boronglah semua.....
( Di belakang juru iring sedang asyik dengan tabletnya... )

Antara beberapa jubah cantik menawan......

Busana  moden yang menarik ....

Mengira telekung sambil bersila & melunjur....

Pemandangan di jalan raya yang lengang....

Antara kenderaan di bandaraya....
Satu yang menarik tidak banyak kenderaan 
yang kelihatan diparking di tepi bangunan 
kedai mahu pun pejabat...

Jalanraya yang lengang tanpa kesesakan kereta ...
Bangunan besar-besar....

Bas hijau sedang lalu....

Hiasan taman di satu bulatan......
Bas merah sedang melintas lalu di seberang jalan.....

Taman yang bersih sesuai untuk bersantai / berehat

Pokok-pokok taman yang subur dengan daunan berjuraian
 
Bangunan gereja di HCMC?

Antara bangunannya...... 


Sesi tindakan pihak berkuasa ke atas peniaga berjualan tanpa izin...
 Berikut ialah gambaran di Restoran Haji Shamsuddin ........









Pemandangan di luar Restoran Shamsudin...

Kolam air pancut di luar restoran Shamsuddin

Pemandangan jalanraya yang dipenuhi oleh
 penunggang motorsikal. Penduduknya bermotorsikal 
dalam kebanyakan urusan mereka agaknya.....
HCMC memang tepat mendapat jolokan nama 
 " bandaraya motorsikal ".....

 Antara anggota rombongan semasa menunggu check in bagasi 
di Tan Son Nhan Airport HCMC sebelum penerbangan balik.....
Lihat bagasi masing-masing bertambah tu ......
Bersiap untuk check in bagasi semasa  berangkat pulang.
Alhamdulillah tak excess bagasi pun.....

Senarai barangan larangan dibawa masuk 
ke kabin pesawat.......
Maaflah teknik fotografinya kurang jelas..........

Foto Korean Air di landasan parking berhampiran balai berlepas.....
Sekian gambaran pengkisahan ini. Jika berkesempatan di lain masa akan dipamerkan gambar-gambar lawatan ke tempat-tempat yang dinyatakan di atas. Insya' Allah. Sabarlah menunggu ya.... Terima kasih.......




Sunday, 8 September 2013

LEGOLAND MENGGAMIT PENGUNJUNG.......

Train ride keliling taman .....Sruktur train daripada lego....
Yang berdiri di belakang pagar sedang menunggu giliran
masing-masing.............

Apa yang menarik perhatian pengunjung tu ?
Mungkin boat ride. Ada juga kawasan car ride ala-ala
 belajar memandu untuk mendapatkan lesen memandu.kereta ..

Gambar diambil semasa train ride....
bangunan pun nampak dari jauh saja...

Antara  gelagat  pengunjung dan anak-anak
semasa berjalan-jalan keliling taman

Pemandangan mini bangunan terkenal dibuat dengan
susunan lego.....

Menara berkembar & menara KL ada di Johor ?

Antara daya tarikan taman......
Di atas ialah beberapa gambaran pemandangan yang sempat di rakam dengan kamera hand phone semasa train ride keliling Legoland. Banyak lagi yang menarik di taman berkenaan,terutama aktiviti-aktiviti lasak yang mencabar ketahanan fizikal dan emosi. Tapi sayang tidak semua dapat dirakam dengan mudah terutama aktiviti roller coaster dan boat ride sebab jarak yang jauh dan pergerakan yang pantas. Bagi aktiviti sedemikian pihak taman ada menyediakan khidmat mengambil gambar yang boleh diperolehi dengan bayaran antara RM35.00 dan RM50.00 sekeping. Mahu tidak mahu foto-foto itu jika mengandungi wajah-wajah kita yang memuaskan hati kenalah diambil sebagai kenangan kunjungan kita ke sana. Untuk pengetahuan gambar-gambar itu bersaiz besar A8.

Demikianlah secebis kisah semasa kunjungan kami sekeluarga ke sana pada 11.12.2012 lalu.Jika ada kesempatan di lain kali akan dipamerkan lain-lain tempat menarik semasa kunjungan berkenaan. Insya'Allah....





Friday, 6 September 2013

MUSEUM ART GALLERY YANG MENAKJUBKAN...

Ada sesuatu yang agak menarik dan menghiburkan dengan melihat pameran lukisan yang cantik menawan, semasa berkunjung ke Museum Art Gallery I-City Shah Alam, bersama keluarga pada petang 13.12.2012.

Lihatlah gambaran dalam foto-foto berkenaan yang boleh memaparkan ceritanya yang tersendiri. Bagi yang berminat mengarang bolehlah asah kebolehan masing-masing berdasarkan gambar-gambar tersebut....

Perhatikan baik-baik gambar ini.
Cerminan diri tanpa cermin.
Kembar yang berbeza....

Eh! hati-hati terkena pula baju saya nanti.....

Nona yang baik hati memberikan secawan air minuman dan 
mempelawa saya minum petang bersamanya........

Mangsa bot karam berakit di lautan yang bergelora menggunakan 
bahan-bahan terbuang. Rakitnya digerakkan oleh layar bertali
yang ditarik oleh mangsa berbaju putih dan berseluar biru.
 Dua orang mangsa lelaki dan perempuan mencuba menarik 
perhatian kapal-kapal yang belayar nun jauh di sana,
dengan melambaikan kain meminta pertolongan........
Sementara seorang lagi mangsa perempuan duduk 
mendiamkan diri mungkin kepenatan atau trauma 
melihat persekitarannya....
Nona manis yang mendiamkan diri itu mengenangkan nasib agaknya....
Saya cuba membantu dengan menenangkannya.... Hi..hi..hi....
Gambaran ini mengingatkan saya pada tulisan blog HNA semasa penceritaan lawatannya ke Art Museum di Korea Selatan. Kalau tak silap lukisannya saja yang berbeza ideanya lebih kurang sama. Betul tak HNA? Kalau benar negara kita tak kurang hebatnya dari segi daya tarikan pelancongan berbanding dengan negara-negara luar ya...

Setakat inilah yang boleh dikongsikan hari ini. Jumpa lagi.......

Wednesday, 4 September 2013

ICE SKATING....

Sudah sebulan tidak menulis disebabkan cuti Hari Raya Aidilfitri dan kesibukan sambutan perayaan berkenaan di rumah dan juga di kampung arwah ayah di Bangkinang - Pekanbaru Indonesia yang kami kunjungi pada 14 hingga 20 Ogos 2013 lalu. Terasa amat teringin untuk mencoretkan sesuatu kenangan indah tidak terlupakan dan membaca blog tulisan rakan-rakan bloggers yang lain. Apabila ada saja kesempatan saya akan buka dan baca blog tertentu dan komen seadanya terutama blog Sekilau1. Terfikir juga untuk menulis sambutan Hari Raya di seberang sana tetapi belum lengkap bahannya, jadi bersabar sajalah.

Bingung juga apa yang hendak ditulis. Lalu saya "browse" album foto yang ada dan terjumpa gambar-gambar percutian di Damansara Kuala Lumpur pada 13.12.2012. Saya putuskan untuk menulis mengenai ini sebagai perkongsian dan kenangan masa depan sambil berusaha menyudahkan rancangan pengkisahan kenangan aktiviti tahun lalu itu.

Seperti biasa percutian kami sekeluarga adalah peluang untuk cucu-cucu bertiga melalui pengalaman dan pendidikan informal kegiatan yang dilakukan. Kali ini mereka diberi peluang menunjukkan kemahiran dan kebolehan berskating di Arena Ice Skating Hotel Royale Bintang Damansara, Kuala Lumpur. Tujuannya ialah untuk memberi pendedahan dan kemahiran merasai pengalaman berskating di platform rekaan manusia yang inovatif. Hendak merasa pengalaman luncur skating dengan skating board / sledge di bukit salji nampaknya tak akan terwujud dalam jangka masa terdekat ini. Di jangka masa panjang pun entahlah, bertahun-tahun baru boleh direalisasikan rasanya. Kemungkinan kewujudan peluang itu memang ada dengan izin Allah swt. Insya'Allah!

Foto-foto berikut menunjukkan bagaimana mereka berlatih menggunakan sepatu skating di atas ais yang keras macam ketulan air batu dalam peti sejuk atau air batu potong yang disalut habuk kayu bergergaji yang dijual oleh pekedai runcit atau penjual air batu secara berbasikal keliling kampung setiap bulan Ramadhan, pada zaman kanak-kanak dulu, iaitu sebelum kami memiliki peti ais di rumah. Suhu dalam arena ice skating itu memang amat sejuk sekali. Semua pemain perlu berpakaian yang sesuai dengan keadaan suhu berkenaan, lengkap dengan sweater, gloves ( sarung tangan tebal ) dan skating boots. Bagi pemain amatur ( terutama  kanak-kanak ) ada disediakan kemudahan skating aids ( skirtle berbentuk penguin ) yang dipegang semasa berskating, seperti gambar di penjuru atas kanan dalam foto ketiga. Semua peralatan dinyatakan perlu disewa dengan kadar bayaran tertentu ( tak ingat pula harganya ).

Untuk pengetahuan yang bercadang membawa anak-anak berskating tidak perlu risau. Sambil anak-anak bermain skating, ibu bapa dan penjaga dewasa boleh bersantai menjalani aktiviti sendiri seperti membaca akhbar, majalah @ buku dan makan minum sambil mengawasi kegiatan anak-anak di teres yang disediakan lengkap dengan kerusi meja di sebelah tepi railing besi seperti gambaran dalam foto kedua dan ketiga ( sayang sekali tidak terakam gambar ruang teres itu ).


Cucu - cucu berlatih skating seperti
 kanak-kanak bertatih berjalan dengan 
berpegang pada railing besi @ 
tangan orang dewasa @ seperti latihan
 " physical therapy " pesakit hospital 
bermasalah sukar berjalan. 
Kelihatan juga pokok fir @ krismas buatan
manusia diselaputi salji  di tepi mereka
Cucu-cucu masih belum berkeyakinan berskating
melepaskan railing pegangan. Ada setengah 

peserta yang dipimpin ./ dipandu oleh rakan / 
ahli keluarga seperti mereka di penjuru atas 
sebelah kiri foto ini......

Tina nampaknya sudah  mendapat sedikit
keberanian dan kemahiran berskating secara
bebas. Alia dan Arisyah masih bertatih lagi.
Di penjuru atas kanan foto ini seorang pemain
berskating menggunakan " penguin aid. "

Berfoto di luar Arena Ice Skating di depan
kolam air pancut.
Kak Nah berdiri di tangga di luar Arena
Ice Skating sambil menunggu kemunculan 
cucu bertiga bersama mama mereka.
Sekian buat kali ini. Jumpa lagi.......