Friday 13 September 2013

HCMC 24 - 27 JUN 2013......

Kali ini saya ingin mengimbas kembali kenangan percutian di HCMC pada 24 hingga 27 Jun 2013 lalu. Tahun lepas ada juga yang mempelawa mengikuti rombongan lawatan ke bandaraya ini tetapi disebabkan sesuatu halangan yang tak dapat dielakkan pelawaan itu ditolak. Tapi kali ini pelawaan Kak Saba kami sahut dengan bayaran RM1,200.00 seorang.

Saya dengan kak Maznah, Nor sepupu dan Abidah rakan memutuskan untuk mengikuti rombongan ini yang sambil melawat tempat-tempat bersejarah akan membeli belah sakan khabarnya di bandaraya ini yang dikatakan " syurga membeli belah."

Pada hari Ahad 23 Jun, 9.30 malam kami bertolak ke K.Lumpur dengan menaiki bas Transnasionai. Sebelum bertolak dari Terminal Bas Kuantan ( pada masa itu terminal sementara masih di perkarangan Stadium Darul Makmur ), kami berkenalan dengan lain-lain anggota rombongan. Dalam ramai-ramai anggota rombongan itu kami dipertemukan dengan Normah Mohamad  yang bertalian saudara melalui perkahwinan arwah sepupu dengan kakaknya. Riuh jugalah seketika dengan kebetulan itu. Subhanallah! tak menyangka berpeluang bercuti dengan saudara. Syukur! tidaklah terasing menyertai rombongan tersebut. Sampai masa bas pun bertolak dari Kuantan dan perjalanannya ke Kuala Lumpur lancar sekali.

Kami tiba di stesen bas Jalan Pekeliling jam 1.30 pagi Isnin 24 Jun. Kemudian kami menaiki 3 buah van ke LCCT Sepang dan tiba kira-kira jam 3 pagi. Sempatlah bersarapan sebelum check in bagasi jam 4.30 pagi dan solat Subuh pagi itu. Rombongan kami seramai 21 orang menaiki penerbangan Air Asia AK1450 ke HCMC ( Saigon ) jam 7.05 pagi. Dalam kapalterbang kami dijamu dengan makanan nasi lemak yang telah dipesan lebih awal oleh pengurus lawatan ( En. Rozlan Ahmad ). Penerbangan selama 2 jam tidak begitu terasa lama kerana sibuk dengan aktiviti membaca, makan minum, tidur dan bagi yang duduk di tepi tingkap berpeluang melihat keindahan awan ciptaan Allah swt.

Kami mendarat dengan selamat di Tan Son Nhat Airport Vietnam jam 8.05 ( waktu tempatan ) Agak lama juga kami menunggu di airport itu selepas check out bagasi selesai sebab bas agak lambat menjemput kami ke hotel penginapan iaitu Hotel Thanh Thu, 34 Nguyen An Ninh, District 1 HCMC, Vietnam. Oleh kerana kami sampai agak awal dan check in hotel  mulai jam 2 pm kami pun berligar-ligar di kedai-kedai berhampiran sambil mencari kedai makan Islam (halal). Tidaklah susah mencari restoran yang sesuai di bandaraya bukan Islam ini. Kami makan di Restoran Basiroh yang terletak di blok depan hotel penginapan. Memang selesa sungguh aturannya.  Kemudian selepas check in, kami shopping di Pasar Benh Thant yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja untuk membeli pakaian kurung, jubah, kain ela bermanik-manik, berkristal dan jahit sulam yang menarik, telekung, asessori rumah dll. Di pasar ini ada kedai yang boleh menerima tempahan menjahit pakaian siap pada hari itu juga dengan khidmat penghantaran selepas siap jahitan ke hotel pelanggan malam itu atau keesokan harinya. Ada juga peniaga di sini yang mahu menerima RM semasa urusan jual beli. Mudahnya, pastikan saja bawa banyak RM.... 

Keesokannya Selasa 25 Jun rombongan dibawa melawat Delta Mekong. Kami berlima iaitu Kak Saba, Kak Nah, Nor, Abidah dan saya dengan izin ketua rombongan tidak menyertai. Sebab ada yang sakit lutut, fobia dengan sungai dll. Sebaliknya kami membuat keputusan untuk shopping di Butik Pakaian Pn Hjh Maimunah ( Ralat Pn Hjh Mariam sebenarnya ). Kami ke sana dengan teksi ( van ) dengan iringan seorang pemandu pelancong. Terima kasih kepada Pn. Hawa (  isteri seorang Imam yang bekerja sambilan memandu pelancong. Di sana kami berpeluang melihat pelbagai rekaan telekung dan jubah yang menarik dan sempat juga membeli beberapa pasang telekung dan pakaian. Sebelum itu kami dibawa ke Plaza untuk membeli pakaian siap seperti T-Shirt dan baju kurung moden dan tradisional yang dihias dengan manik-manik. Pelbagai asesori wanita seperti gelang, cincin, brooch, jam dll juga kedapatan di sini. Sedia Dong Vietnam @ USD sajalah semuanya beres.

Hari Rabu 26 Jun jam 8 pagi kami dibawa melawat tempat bersejarah Cu Chi Tunnel, medan perang yang memang menarik dan mengerikan. Di situ kami diberi penerangan oleh pemandu pelancong bekas tentera yang fasih bertutur Bahasa Inggeris stail Vietnam-Amerika. Beliau sanggup memotong jari tengah salah satu tangannya kerana tidak mahu membidik senapang berperang kira-kira 40 tahun lalu. Kami dibawa ke Ben Dinh Underground Tunnel Complex yang dipenuhi dengan bangsal-bangsal kayu beratapkan daun nipah. Di situ kami dibawa menonton tayangan dokumentari sejarah dan melawat bangsal-bangsal tempat tidur, tempat memasak, tempat sarapan, menjahit pakaian, bilik mesyuarat yang semuanya gelap tanpa cahaya letrik/pelita hanya bergantung kepada cahaya matahari dan bulan. Kami berpeluang memerhati dengan mata kepala sendiri lubang-lubang bawah tanah tempat persembunyian dan taktik peperangan melawan musuh. Yang paling berkesan ialah lubang persembunyian yang ditutupi dengan daun-daun kering bagi mengabui mata musuh, jerangkap bercerucuk besi yang mengerikan ketika membayangkan musuh yang terpijaknya dan lubang kecil bawah tanah tempat memasukkan bahan mengesan musuh (antaranya racun / ular berbisa ) yang boleh membunuh mangsa ( tentera Vietcong ). Alangkah dahsyatnya akibat dan kesan peperangan. Berdamailah manusia sejagat sekelian. Di kompleks ini terdapat juga lapangan latihan menembak yang berfungsi ketika kami di sana. Bunyi berbalas-balas tembakan jelas kedengaran seolah-olah gambaran waktu peperangan Amerika - Vietcong di masa lampau. 

Sebelum itu kami dibawa melawat Handicapped Handicrafts Centre yang pekerja-pekerjanya majoriti terdiri daripada mangsa perang "orange ". Antaranya ada yang cacat fizikal / OKU yang telah dilatih sehingga pakar membuat kraf seperti pasu tembikar, lukisan, hiasan dinding dll yang indah dan bermutu tinggi. Pusat ini memang menjadi tumpuan para pelancong serata dunia yang datang dengan bas, van dan kereta pelancongan. 

Dalam perjalanan balik ke hotel selepas lawatan berkenaan kami singgah di Restoran Haji Shamsuddin keturunan Indonesia yang telah menetap di HCMC, untuk makan tengahari. Memang menarik kedai itu dengan hiasan bercorak keIslaman dan makanan yang lazat terutama kuih bingka ubinya yang enak serta harga yang berpatutan. Oh ya, makan minum semasa lawatan ke Vietnam ini tanggungan sendiri tidak termasuk dalam harga pakej. Pemilik dan petugas restoren ini bertutur bahasa Melayu loghat Melayu Champa dan tidak bahasa ibunda asalnya lagi.

Selepas itu kami singgah di Pasar China Town yang padat dengan produk jualan kain baju, pakaian, pelbagai beg tangan, beg pakaian dsbnya. Berebut-rebutlah penjual mencari pelanggan dengan pelbagai strategi jualan, Memang terpedaya juga kita dibuatnya sehingga membeli juga beberapa pasang pakaian.

Malamnya kami berjalan-jalan melihat pasar malam berhampiran Pasar Benh Thant dan sempat membeli T Shirt, alas meja, beg galas, table runner, tudung dan seumpamanya. Sempat juga kami melihat tindakan petugas Dewan Bandaraya merampas gerai jualan peniaga tanpa izin. Dalam hati belas juga melihat peniaga berkenaan tetapi apakan daya yang salah tetap salah dan pesalah kena akurlah dengan tindakan undang-undang negara mereka. Di negara kita pun ada yang diambil tindakan sedemikian. ( Terkenang pula peristiwa semasa mengerjakan umrah 2007 & 2008 di mana kejadian serupa berlaku apabila penjual jalanan berkulit hitam sentiasa dihambat oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana berjualan tanpa izin ). Yang lucunya ada yang lari lintang pukang dan sempat menyembunyikan dagangan sebelum pihak berkuasa datang merampas jualan mereka. Seperkara lagi kebetulan malam itu kawasan itu bergelap akibat "blackout". Malam itu juga kami menjamu selera dengan beberapa biji durian yang dibeli daripada penjual tepi jalan dan terus makan di situ dalam suasana hujan renyai-renyai.

Sebenarnya malam itu kami berempat saya, kak Nah, Nor dan Abidah berpindah menginap di hotel berhampiran kerana bilik hotel kami berempat telah ditempah awal oleh pihak lain. Kami ditempatkan di hotel Han Long berselang satu kedai dengan Hotel Thanh Thu dalam dua bilik berlainan yang juga selesa.  Keesokannya  Khamis 27 Jun pagi-pagi lagi kami bersiap sedia untuk check out dan bersiap untuk menaiki bas ke lapangan terbang HCMC jam 11 pagi. Semasa menunggu bas sempat lagi membeli cenderahati yang tak sempat dibeli semalam dari kedai-kedai berhampiran.

Penerbangan balik juga lancar dan selamat. Kami menaiki penerbangan Air Asia AK1457 jam 1.25 petang dan tiba di LCCT Sepang kira-kira jam 4 petang. Selepas check out kira-kira jam 5 ptg kami menaiki 3 van berasingan untuk ke Pudu Sentral bagi menaiki bas Transnasional 8.30 malam ke Kuantan. Untuk pengetahuan terminal bas ini telah direnovasi, moden dan bersih. Satu yang kurang memuaskan ialah agak sukar mengangkat bagasi berat / besar turun ke platform bas. Nasib baik ada seorang lelaki yang budiman yang membantu mengangkat turun beg besar kami warga emas yang kurang mampu mengheret beban berat ( Terima kasih kepada orang muda beranak satu dan isterinya ) Untuk menaikkan bagasi dari lobi terminal ke aras 1 tempat menunggu berlepas tidak bermasalah kerana beg boleh diletakkan di tangga accelerator yang bergerak secara otomatik. Di terminal kami sempat berehat, bersolat jamak qasar Maghrib - Isya' dan makan minum. Syukur, perjalanan balik ke Kuantan pun selamat dan lancar sehingga kami sampai ke rumah masing-masing kira-kira 12.30 tengah malam. " Home sweet home "

Sekianlah penceritaan semasa di HCMC. Foto-foto iringan ini diharap dapat membantu menjelaskan peristiwa semasa di sana.

Susunan bagasi kami berlima semasa 
menunggu bas untuk ke hotel....

Hotel San Tu ( ikut sebutan )

Di lobi hotel semasa menunggu masuk bilik...

Antara pakaian kurung moden yang dijual 
berhiaskan manik / batu kristal / bersulaman 
di Butik Pakaian Hajah Maimunah  .....

Pakaian kurung moden dan tudung bergantungan 
untuk pilihan pembeli......

Pilih jangan tak pilih..
Beli jangan tak beli..
Biar sesal membeli,
Jangan kesal tak membeli..
Sesal kemudian tak berguna...
Boronglah semua.....
( Di belakang juru iring sedang asyik dengan tabletnya... )

Antara beberapa jubah cantik menawan......

Busana  moden yang menarik ....

Mengira telekung sambil bersila & melunjur....

Pemandangan di jalan raya yang lengang....

Antara kenderaan di bandaraya....
Satu yang menarik tidak banyak kenderaan 
yang kelihatan diparking di tepi bangunan 
kedai mahu pun pejabat...

Jalanraya yang lengang tanpa kesesakan kereta ...
Bangunan besar-besar....

Bas hijau sedang lalu....

Hiasan taman di satu bulatan......
Bas merah sedang melintas lalu di seberang jalan.....

Taman yang bersih sesuai untuk bersantai / berehat

Pokok-pokok taman yang subur dengan daunan berjuraian
 
Bangunan gereja di HCMC?

Antara bangunannya...... 


Sesi tindakan pihak berkuasa ke atas peniaga berjualan tanpa izin...
 Berikut ialah gambaran di Restoran Haji Shamsuddin ........









Pemandangan di luar Restoran Shamsudin...

Kolam air pancut di luar restoran Shamsuddin

Pemandangan jalanraya yang dipenuhi oleh
 penunggang motorsikal. Penduduknya bermotorsikal 
dalam kebanyakan urusan mereka agaknya.....
HCMC memang tepat mendapat jolokan nama 
 " bandaraya motorsikal ".....

 Antara anggota rombongan semasa menunggu check in bagasi 
di Tan Son Nhan Airport HCMC sebelum penerbangan balik.....
Lihat bagasi masing-masing bertambah tu ......
Bersiap untuk check in bagasi semasa  berangkat pulang.
Alhamdulillah tak excess bagasi pun.....

Senarai barangan larangan dibawa masuk 
ke kabin pesawat.......
Maaflah teknik fotografinya kurang jelas..........

Foto Korean Air di landasan parking berhampiran balai berlepas.....
Sekian gambaran pengkisahan ini. Jika berkesempatan di lain masa akan dipamerkan gambar-gambar lawatan ke tempat-tempat yang dinyatakan di atas. Insya' Allah. Sabarlah menunggu ya.... Terima kasih.......




2 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian. Nampaknya mereka ke HCMC memang 'born to shop' dan 'shop till you drop dead' hi hi

    ReplyDelete
  2. Ya lebih kurang begitulah sbb penat & sakit kaki dek berjalan & berdiri lama. Di tempat shopping ada stools penjual yg boleh kita gunakan untuk duduk melepaskan penat tetapi dek ghairah nak shopping tak duduk lama bimbang tersalah shopping pulak! Jika ke sana bawa minyak angin ke minyak urut ke @ apa saja yg boleh membantu mengurangkan sakit tu...

    ReplyDelete