Friday, 17 January 2014

LUAHAN RASA SEORANG BLOGGER BARU............

Sedar tak sedar sudah hampir setahun saya menjadi blogger. Sudah 71 posting yang berjaya diterbitkan. Saya amat gembira, bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat sambutan daripada pembaca blog yang prihatin dan meminati tulisan saya. Walaupun bilangan " pageviews " saya tidak begitu besar tetapi alhamdulillah ada lebih 6400 pageviews sekarang dengan " audiens " daripada negara di seluruh dunia seperi USA, Russia, Indonesia, Vietnam, Brunei, China, Canada, Jerman, United Kingdom, Hongkong, South Korea, Singapura, Ukraine, Thailand. 

Sebenarnya melalui blog, saya ingin berkongsi pengalaman dan kenangan sepanjang hidup yang masih jelas terpahat dalam ingatan saya bersama-sama kaum keluarga, sahabat handai, masyarakat dalam dan luar negara amnya serta generasi kita yang akan datang. Itulah tujuan utama saya berblogging dan mungkin juga semua blogger lain. Betul tak?

Hakikatnya bukanlah sukar sangat untuk menulis. Yang sulit sedikit ialah untuk memilih skop penulisan yang sesuai dan memberikan nama kepada tajuk posting yang dapat menarik perhatian pembaca atau yang boleh mengujakan pembaca untuk mengetahui kisah selanjutnya. Selain daripada itu ialah layout posting yang lebih menarik terutama apabila disertakan dengan gambar-gambar yang sudah tentu perlukan penyusunan yang sesuai dengan cerita yang berkaitan. Selain daripada itu banyak perkara baru yang perlu dipelajari seperti cara meluaskan audiens dan bagaimana memperolehi pendapatan tambahan melalui iklan di blog. Perkara inilah yang saya masih belum menguasai.dan mempelajarinya. Di samping itu untuk menulis kita perlukan masa yang sesuai bergantung kepada panjang pendeknya blog penulisan. Tidak dilupakan tatabahasa, sistem ejaan dan ragam bahasa penulisan yang betul, perlu juga diberi perhatian supaya kita dapat menunjukkan contoh penggunaan Bahasa Melayu ( pilihan bahasa yang saya gunakan ) yang baik dan betul.

Walaupun demikian, penulisan blog ini memberi pengalaman dan keseronokan meluahkan perasaan dan fikiran melalui tulisan dan peluang memberi komen terhadap blog - blog lain. Satu yang memberangsangkan ialah apabila posting kita mendapat sambutan daripada pembaca yang memberikan komen terhadap kisah yang ditulis. Rasa amat teruja membaca komen mereka dan memang sentiasa tertunggu-tunggukannya. Semakin mengujakan apabila ada " follower " yang bukan sahaja terdiri daripada kenalan rapat tetapi juga " blog walkers " Sudah tentulah kita akan dapat menjalin hubungan persahabatan dengan mereka dan memperluaskan lagi golongan kenalan kita. Melalui penulisan blog juga kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah dan menajamkan lagi teknik penulisan dan akal. 

Sekianlah.... selamat berblogging seterusnya kepada semua blogger..... semoga tulisan blog dapat mengisi kekosongan jiwa dan akal dengan maklumat yang bermanfaat untuk pengetahuan dan kehidupan di dunia fana ini..........SELAMAT TAHUN BARU 2014.

Tuesday, 7 January 2014

LIMPAHAN AIR .....BANJIR......

Selepas sebulan banjir melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama Pahang, saya baru berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu mengenainya sebagai tanda simpati kepada mangsa-mangsa banjir, terutama saudara mara dan rakan-rakan karib yang terlibat. Oleh kerana ramai juga yang terkena musibah itu, tidaklah berkesempatan untuk melawat setiap orang kenalan itu selepas air surut kerana kesuntukan waktu oleh pelbagai urusan. 

Air amatlah diperlukan oleh semua kehidupan di dunia ini untuk urusan makan minum, mandi manda, mencuci pakaian, menggerakkan tenaga elektrik dan sebagainya. Tetapi apabila air melimpah ruah dan melanda dengan derasnya bagaikan lautan di daratan sudah tentulah ia merbahaya kepada semua kehidupan kerana menyebabkan kerosakan yang tidak akan tertahan oleh tenaga manusia terutama apabila ia datang secara mengejut / serta merta tanpa amaran dan sempat  membuat persiapan menyelamat sewajarnya. Itulah sinopsis mengenai banjir yang baru-baru ini melanda Bandar Lestari Kuantan, Pahang.  Ramai terlibat di kalangan mereka yang menghuni kawasan perumahan dan kampung-kampung berhampiran sungai dan kawasan rendah yang mudah ditakungi air apabila hujan lebat turun tak henti-henti. Saudara-saudara dan rakan-rakan yang dilanda musibah itu di Kampung Permatang Badak, Taman Sepakat, Sungai Isap, Taman Guru, Kampung Sri Damai dan rumah-rumah di sepanjang Batu 3 hingga Batu 6 Jalan Gambang diharap telah dapat melalui saat-saat getir tersebut dengan sabar dan tabah. 

Perkara banjir ini sebenarnya bukanlah hal baru tetapi telah kerap berlaku semenjak dulu lagi bezanya samada dalam skala besar atau kecil sahaja. Seingat saya semasa berulang alik ke sekolah dari Kampung Batu 7 ke bandar Kuantan semenjak tahun-tahun 1960an hingga setelah bertugas mulai tahun 1970an, jalanraya laluan di depan Sungai Isap dan Batu 3 kerapkali digenangi air pada musim tengkujuh sehingga terpaksa mengharungi air sewaktu berbasikal ke sekolah. Bayangkan kesukaran yang dihadapi apabila kasut dan pakaian seragam basah akibat hujan mencurah walaupun memakai baju hujan. Begitu juga apabila berkenderaan ke tempat kerja walaupun kesukarannya tidak seteruk sewaktu berbasikal tetapi air banjir yang dilanda oleh kenderaan walaupun membersihkan tayar tetapi juga memercikkan air kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan motorsikal yang menggunakan laluan yang sama. Kasihan mereka yang terlibat basah kuyup terutama jika tidak memakai baju hujan yang sempurna. Kalau air jernih kesannya tidaklah seteruk mana tetapi jika air berlumpur tentulah mengotorkan pakaian mereka.

Saya cukup bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir yang berdepan dengan situasi yang   
begitu kritikal tahun ini kerana menempuhi banyak kerosakan harta benda dan rumah melibatkan perabot-perabot, pakaian, tanaman dsbnya. Selepas banjir bertimbun-timbun barangan rosak di hadapan rumah mereka. Sudah tentulah alam sekitar kediaman mereka tidak sihat dan tidak selesa dari segi deria bau dan pandangan sementelahan pula kenderaan Majlis Perbandaran tidak tertangani pungutan semua sampah sarap berkenaan serta merta pada setiap hari dek terlalu banyak. Berhari-harilah sampah sarap itu berlonggokan di sepanjang jalan kawasan kediaman mangsa-mangsa berkenaan. Bayangkanlah mereka terpaksa menghidu bau yang sudah tentu tidak enak.....

Namun begitu selepas banjir  pihak berkuasa tempatan nampaknya telah berusaha keras membersihkan kawasan dan membaiki saliran-saliran longkang dan parit air di kawsan rendah yang kerap dilanda banjir bagi mengelakkan bencana itu berulang dan mangsa banjir tidak mengalami penderitaan berpanjangan. Apa tidaknya semasa bencana melanda mereka  terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir di sekolah-sekolah & dewan orang ramai, rumah saudara mara @ rakan taulan, menginap di hotel-hotel, tinggal di homestay dll. Usaha pihak-pihak berkenaan  sekurang-kurangnya dapat melancarkan laluan air jika hujan lebat turun lagi tanpa henti.  Semoga semua mangsa banjir telah dapat menyelesaikan masalah kerosakan rumah mereka dengan bantuan pelbagai pihak. Walaupun bantuan yang diterima tidak dapat menampung semua kerosakan harta benda, lahiriahnya mereka yang kelihatan tabah dan redha mengharungi bencana  diharap dapat hidup  kembali normal seperti sedia kala selepas itu.

Alhamdulillah walaupun Jabatan Metereologi telah meramalkan banjir gelombang kedua akan melanda sekali lagi, tetapi kenyataannya setakat ini tidak menjadi.  Sudah tentulah ini amat menggembirakan semua pihak yang terlibat khususnya dan semua rakyat amnya. Sama-samalah kita berdoa bencana berkenaan tidak akan berulang lagi. Insya'Allah. Aminnnn..........
.
Akhirnya, layarilah kepingan gambar-gambar berikut yang sempat dirakam sebagai kenangan dan perhatian kita semua. Renungkanlah dan resapi perasaan mangsa banjir sekelian. Jika kita berdepan dengan masalah sedemikian bagaimana pula agaknya????? Sekian.

Kesan banjir di rumah Uzt Khadijah bt Yusuf
di Taman Sepakat, Kuantan pada
 13.12.2013
Longgokan kerosakan perabot di depan
Balairaya & Masjid serta sepanjang
 jalanraya di Taman Sepakat Kuantan
 pada 13.12.2013


Tinggalan sisa kerosakan akibat banjir di bahu jalan Lorong Sg. Isap Damai 14 selepas banjir pada 13.12.2013

Sunday, 5 January 2014

PEKANBARU - BANGKINANG - BUKIT TINGGI - PADANG

Berfoto di Lobi Lapangan Terbang Antarabangsa 
Sultan Syarif Kasim II semasa menunggu kenderaan 
ke Bandaraya Pekanbaru pada jam 12.48
Setiba di Pekanbaru pada sebelah petang 20.11.2013, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Bandaraya itu untuk menikmati keindahan alamnya sebelum pada sebelah malamnya kami berangkat ke Bangkinang menaiki kereta / mobil dipandu oleh Arif suami Dora dan tiba di sana lebih kurang 10 malam Layarilah foto-foto di bawah ini bagi menikmati bersama pengalaman kami itu .........

Bergambar di depan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat
 Daerah Kota Pekanbaru, 15.46 petang

Menara Masjid Agung An-Nur Pekanbaru, 16.29 petang

Masjid Agung An-Nur Pekanbaru, 16.31 petang
Tumpukan pandangan pembaca kepada 
tulisan di papan maklumat Masjid Agung 
An-Nur sambil menghayati kata-katanya

Gambar bangunan di hadapan Masjid Agung An-Nur Pekanbaru dirakam pada 16.33. 
Maaf terlupa mencatat nama bangunan berkenaan. 

Jam 17.23 pada 20.11.2013 kami berpeluang menikmati 
menu masakan Palembang di restoran yang menghidangkan
 makanan panas berasaskan bebola ikan dan tauhu kalau tak silap. 
Sayang sekali saya tidak merakamkan gambar menu itu
 sebelum menikmatinya maklumlah teruja hendak mencicipinya segera.
Keunikan jambatan pejalan kaki di Kampus Universitas Riau Pekanbaru
dirakam pada jam 18.43 pada 20.11.2013
Pada pagi 21.11.2013, kami berlapan menaiki sebuah kenderaan MPV bertolak dari Bangkinang ke Bukit Tinggi melalui jalanraya yang berkelok-kelok dan berliku-liku seperti gambaran dalam foto-foto di bawah. Kali ini kami berpeluang menaiki 5 jambatan baru yang telah dirasmikan pembukaannya dengan laluan kenderaan sehala sahaja. Rasanya lebih selamat dan aman begitu kerana dapat mengelakkan kesesakan ( macet ) dan risiko berlaku kemalangan. Kami amat gembira kerana dapat melihat keindahan alam bukit bukau di kawasan lebuhraya itu dalam keadaan nyaman tanpa gangguan lalulintas yang bertali arus. Tetapi dalam perjalanan balik ke Bangkinang-Pekanbaru, kami terpaksa melalui jalanraya lama di bawah jambatan baru seperti laluan yang kami tempuh semasa lawatan pada Ogos 2013 lalu. Apa pun ini pengalaman yang berharga bagi kami sekeluarga. Syukur... 

Jalanraya baru di Kelok 9 Bukit Tinggi

Jambatan Kelok 9 menghala Bukit Tinggi

Pemandangan indah di kawasan Jambatan 
Kelok 9 Bukit Tinggi

Laluan di Jambatan Kelok 9 yang agak mencabar juga

Lagi gambar Jalanraya di Kelok 9 dari pandangan atas


Berehat sebentar di Jambatan Kelok 9 sambil
menghayati pemandangan alam sekitar 
sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bukit Tinggi

Bangunan menarik perhatian di perjalanan menuju Bukit Tinggi
 dirakam jam 14.31 - 14.33. Foto di bawah itu Kantor ( Pejabat ) Pos.

Cafe makanan segera " halal " ( rujuk logo bulat berwarna hijau )
 di Plaza Ramayana Bukit Tinggi jam 17.58 petang

Pemandangan pintu masuk Plaza Bukit Tinggi jam 18.12

Gambaran di Jam Gadang Bukit Tinggi 
pada jam 18.49.petang

Foto Monumen Bung Hatta ini agak gelap semasa
diambil pada jam 19.01 menjelang malam

Hotel penginapan di Bukit Tinggi selepas
meninjau beberapa hotel lain yang tiada kekosongan.
 Foto dirakam jam 23.40 sekembali daripada makan malam
Bangunan " lentik " diambil dari koridor Hotel Ambunsari tingkat atas
 pada 22.11.2013 jam 8.55 pagi

Pemandangan Air Terjun " Anai " di tepi jalanraya
 Padang - Bukit Tinggi melepasi Padang Pariaman,
 yang gambarnya dirakam pada 22.11.2013 jam 14.17.
Hajat hendak ke Kota Padang dibatalkan kerana 

jalanraya sesak,  dibimbangi tidak berkesempatan 
untuk bersiar-siar di sana kerana perlu balik 
ke Bangkinang  pada petang itu juga.

Gambaran pada jam 14.22 semasa melintasi Taman Rekreasi
 Bertemakan Air di sebelah kanan jalanraya 
Padang - Bt Tinggi. 
Gambar  tidak jelas kenana diambil semasa kenderaan bergerak.

Pintu Gerbang yang teguh dan indah di jalanraya 
Padang - Bukit Tinggi. Kami melintasinya pada jam14.29.

Bangunan " Kerapatan Adat Nagari " di Kota Surungan Padang 
Panjang Barat,  yang menarik perhatian dengan ciri tradisional 
binaan rumah masyarakat Minangkabau. Foto diambil jam 14.41.
Antara menu masakan semasa singgah makan tengahari dan 
Solat Jamak Taqdim Zohor Asar dirakam pada jam 15.35
 di Restoran Simpang Raya Padang Laweh.  Hidangan di atas 
tidak dijamah kerana setiap menu dihidang dalam 2 piring
@ pinggan berlainan serta banyak jenis @ menunya.
 Foto-foto tersebut dirakam selepas selesai makan.

Bersantai selepas menikmati hidangan enak.

Papan tanda yang menggambarkan dengan sendirinya
 tentang " Rumah Makan & Restoran " berkenaan

Berfoto pada jam 16.16 di restoran yang dihias indah
dengan gambar dan papan ukiran yang menarik, sebelum

meninggalkan restoran  ke Bangkinang

Pemandangan sawah padi semasa melintasi kawasan tersebut jam 17.27 dalam perjalanan balik ke Bangkinang. Foto diambil dari dalam kenderaan yang sedang bergerak.
Sekembali ke Bangkinang kami terus ke rumah Juni, anak saudara dan dijamu dengan masakan berasaskan durian. Selepas itu barulah kami balik ke rumah sepupu di Kelurahan Pulau dan membuat persiapan untuk balik ke Pekanbaru pada 11 pagi keesokan harinya.

Gambar bersama keluarga di hadapan rumah kakak sepupu di Bangkinang pada 23.11.2013 jam 12.09( WM)

Foto kebun jagung di Kelurahan Pulau, Bangkinang dirakam dalam perjalanan balik 
menuju Pekanbaru jam 12.24

Foto cucu-cucu saudara di Pekanbaru pada 24.11.2013 jam 9.59

Gambar beramai bersama sanak saudara di rumah Wahyu, sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Pekanbaru pada 24.11.2013 jam 10.06

Bergambar bersama saudara mara pada 24.11.2013 jam 10.37,
 sebelum menguruskan penerbangan balik ke Subang 

Bergambar di Balai Berlepas Lapangan Terbang Pekanbaru 
jam 11.10 sebelum terbang jam 11.25 waktu Malaysia.ke Subang
Demikianlah percutian kami sekeluarga selama 5 hari 4 malam di Indonesia, semasa mengunjungi.sanak saudara dan tempat-tempat rekreasi termasuk pusat membeli-belah seperti Mall Matahari di Pekanbaru, Bangkinang, Bukit Tinggi dan Padang. Alhamdulillah semuanya selamat dan gembira. Satu yang mendukacitakan selepas tiga minggu kembali ke Malaysia kami mendapat khabar duka berpulangnya ke Rahmatullah, Matsom, abang sepupu yang menderita sakit tua pada 13.12.2013. Syukur sempat kami menziarahi dan bertemu Allahyarham semasa ada lagi hayatnya pada pagi 23.11.2013 sebelum berangkat ke Pekanbaru.. Al-Fatehah disedekahkan kepada Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aminnnn.........

Friday, 3 January 2014

FIREFLY

Setelah sekian lama menyepi ( sebulan lebih jugalah akibat pelbagai kesibukan ...) hati teruja hendak menulis sesuatu. Lalu membalik-balikkan fikiran sehingga tercetuslah idea untuk menulis mengenai penerbangan Firefly, penerbangan MAS yang masyhur juga itu.Tujuan saya bukan untuk bercerita mengenai sejarah penerbangan itu @ perkhidmatannya @ mengkritik @ komentar mengenainya tetapi sekadar perkongsian pengalaman buat pertama kalinya menggunakan khidmat penerbangan ini....Ke mana ? Inilah yang hendak dikisahkan......

Pada 20 Nov 2013 lalu, 10.30 am, kami sekeluarga berenam semuanya menaiki penerbangan Firefly FY3409 dari Subang (SZB) ke Pekanbaru (PKU), untuk menziarahi saudara mara di sana buat kali keempat bagi saya dan kakak tetapi pertama kali bagi anak saudara dan 3 orang anaknya. Kami teruja memilih penerbangan ini untuk merasai pengalaman menaiki penerbangan ringan dengan muatan penumpang yang tidak ramai, lebih kurang 70 orang sahaja. Lagi pun kami tidak perlu berjalan jauh dari balai berlepas ke pesawat kerana ia " parking " berhampiran dengan balai itu. Kami memilih tempat duduk di bahagian tengah iaitu   " wing " pesawat berkenaan dengan 6 tempat duduk di baris nombor 11 dan 12 . Ada 2 barisan tempat duduk yang diduduki oleh dua orang setiap satunya. Semasa di udara penerbangan berjalan lancar. Walaupun tempoh penerbangan tidak begitu lama kami dihidangkan dengan pilihan jus oren @ jambu batu dan pilihan kacang goreng @ muffin yang enak ( tiada bayaran tambahan sebaliknya termasuk dalam bayaran penerbangan ). Terisi jugalah perut yang mulai kosong selepas bersarapan di cafe lapangan terbang sebelum berlepas. Pesawat ini terbang di ketinggian yang sederhana tinggi.  Bagi penumpang yang duduk di tepi tingkap dapatlah menyaksikan pemandangan di bawah dalam keadaan cuaca yang agak baik. Sewaktu hampir sampai ke destinasi, kami ada merasai sedikit gegaran ketika pesawat mulai menurunkan ketinggian ketika hendak  mendarat. 

Walau bagaimanapun kami amat bersyukur selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Sharif Kasim 11 Pekanbaru pada jam 10.30 pagi waktu Indonesia. Sewaktu sampai bas sudah sedia menunggu di landasan untuk membawa semua penumpang ke balai ketibaan di bangunan lapangan terbang itu. Selepas membereskan segala urusan ketibaan iaitu pemeriksaan imigresan ( cop pasport dll  ), kastam ( tiada apa yang hendak diisytiharkan ) dan pengambilan bagasi, kami menuju keluar balai ketibaan untuk menemui saudara mara yang setia menunggu ketibaan kami, menuju rumah salah seorang anak saudara untuk makan tengahari. Dengan itu bermulalah lawatan kami ke Pekanbaru. Tunggu posting lain untuk cerita selanjutnya ya....

Dengan penerbangan Firefly FY3408 pula kami berlepas dari Pekanbaru (PKU) pada 24 Nov 2013 jam 10.25 pagi waktu Indonesia dan tiba di Subang (SZB) jam 12.25 tengahari. Kali ini kami diberi tempat duduk 17 dan 18 hampir dengan kerusi-kerusi " business class " di bahagian berhampiran pintu masuk pesawat ( satu pintu sahaja ) yang terletak di bahagian ekor. Ini kelainan daripada penerbangan lain di mana bahagian " business class " berada di hadapan pesawat dengan melalui tangga hadapan. Kami sungguh selesa berada di kerusi berkenaan. Penerbangan pun lancar dan stabil sahaja rasanya. Semasa penerbangan balik ini saya berpeluang duduk berhampiran tingkap pesawat dan dapatlah memerhatikan dari udara pemandangan menarik - bumbung-bumbung rumah penduduk di Sumatera, sungai mengalir lesu ( sayang sekali tak tahu namanya ) dengan kapal  @ bot melayarinya bagaikan semut berjalan dek terlalu kecil saiznya dilihat dari udara, gumpalan awan dan kemudiannya laut Selat Melaka yang terbentang luas saujana mata memandang. Memang satu pemandangan yang menarik hati dan mengujakan melihat ciptaan Allah swt dari ketinggian penerbangan walaupun dalam tempoh sekejap dek kelajuan pesawat. Subhanallah......

Alhamdulillah! Kami gembira selamat kembali semula ke Malaysia yang dicintai.....

Untuk pembaca sekelian tataplah gambar-gambar yang sempat diambil sebagai kenangan. 

Di Balai Berlepas Subang menunggu penerbangan.......
Sempat bersantai di kerusi urut yang sudah tidak berfungsi


Gambaran dalam pesawat semasa di udara.........
Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II dilihat dari luar.
Demikianlah pengalaman terbang dengan Firefly, satu kelainan daripada penerbangan dengan Riau Airlines dari Melaka ( 2004 ), AirAsia dari LCCT Sepang ( 2007 & Ogos 2013 ) ke destinasi yang sama iaitu Pekanbaru, Indonesia.

Saturday, 16 November 2013

MASA LALU YANG TAK TERLUPAKAN....

Bila bercerita tentang masa lalu, sudah tentu tidak akan dapat dielakkan cerita tentang alam
kanak-kanak sebab itulah permulaan kehidupan setiap manusia. Pengalaman masa kanak-kanak ada kalanya begitu sensasi dan sukar untuk dilupakan. Dalam ruangan ini saya ingin memaparkan pengalaman pahit yang kadang-kadang menggemparkan dan meresahkan sebagai tatapan semua pembaca. Ambillah iktibar daripada insiden-insiden berkenaan bak kata pepatah " Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan "

Insiden yang hendak diceritakan ini berkisar pada pengalaman kakakku sebagai kenangan anak cucu di masa-masa akan datang. Anggaplah ia satu pengalaman unik yang tidak semua orang diuji untuk melaluinya dan jadikan ia sebagai peristiwa yang mematangkan dan membentuk peribadi yang lebih seimbang.

Insiden-insiden yang ingin diceritakan ini berlaku sebelum dan semasa awal alam persekolahan di tahun-tahun 1955 - 1960an. Sudah menjadi tabiat setiap kanak-kanak menangis dan ada kalanya memberontak, jika keperluan dan kehendaknya tidak dipenuhi. Saya pun ingat-ingat lupa peristiwa ini maklum saja baru berumur sekitar 4 - 5 tahun. Jadi ada kisah yang saya ingat melalui cerita yang kakak sendiri kerapkali sampaikan semasa kami berkumpul adik beradik. Pada masa itu negara kita berada di ambang kemerdekaan. Kehidupan kanak-kanak pada masa itu memanglah tidak mewah terutama bagi golongan keluarga yang tinggal di luar bandar yang bergantung pendapatan pada kerja-kerja pertanian semata-mata. Itulah situasi yang kami alami. Datuk yang menjadi penjaga kami berdua selepas kematian arwah ayah pada tahun 1951 hanya bergantung kepada sumber pendapatan daripada kerja-kerja menoreh getah dan bertani yang pulangannya ketika itu tidaklah besar.

Adakah sesiapa yang mengalami pengalaman yang sama ? Ikutilah kisah seterusnya. Maaflah jika jalan cerita tidak begitu menarik hati pembaca sekelian ya......

Kisah 1 :  

Kakak pernah dikurung di rumah asap yang digunakan untuk mengeringkan getah keping sebelum dijual, yang terletak di belakang rumah. Rumah asap itu berdinding papan tegak beratapkan tak pasti daun nipah atau zink tanpa tingkap kecuali pintu  dan agak luas juga lebih kurang 10 x 12 kaki lebar. Ia berlantaikan tanah liat semata-mata. Di tengahnya digali satu lubang besar untuk meletakkan unggun api. Di atasnya bergantungan kepingan getah yang disidaikan di atas palang-palang kayu yang bertingkat-tingkat. Selepas lebih kurang 2 - 3 hari apabila sudah cukup kering / masak kepingan getah itu akan dikeluarkan dan dikumpulkan untuk dijual.  Pada hari berkenaan, saya tidak berapa pasti penyebabnya kakak dikurung dalam rumah itu yang kalau tak silap apinya telah dipadamkan kerana tiada lagi getah keping yang hendak dikeringkan. Tapi yang pasti ia dikurung kerana menangis berlanjutan sehingga membingitkan telinga ahli-ahli keluarga yang lain. Tangisannya tidak juga berhenti walaupun telah dikurung malahan semakin kuat menangis, tetapi dek kerana keletihan menangis akhirnya senyap sendiri. Masa inilah orang dewasa mulai gusar bimbang sesuatu yang buruk berlaku padanya. Apabila ditinjau rupanya dia tertidur kepenatan akibat menangis. Selepas dibangunkan dia dimandikan, diberi makan dan disuruh berehat ( ditidurkan ). Alhamdulillah.....

Kisah 2 :

Pada satu malam selepas waktu Maghrib kakakku telah dikurung di luar pintu rumah akibat menangis tidak berhenti-henti jua. Semakin kuatlah ia menangis kerana ketakutan dek kegelapan malam tanpa cahaya rembulan. Yang nampak hanya bayangan pokok-pokok yang bergoyang apabila ditiup angin. Minda kanak-kanak mulai menerawang memikirkan perkara-perkara yang menyeramkan. Maklumlah pada masa itu masyarakat Melayu memang masih lagi diselubungi dengan kepercayaan wujudnya benda-benda ghaib seperti hantu dan kerap menakutkan kanak-kanak yang berperangai kurang baik dengan berpura-pura / berlakon sebagai hantu dengan berselubungkan kain pelikat dan seumpamanya. Semakin kuatlah kakakku menangis mungkin membayangkan hantu semasa berada berseorangan di luar rumah. Oleh kerana tangisannya tidak berhenti jua dan bimbang sesuatu perkara buruk berlaku ibu saya telah membawanya masuk ke dalam rumah. Kakak pun berhenti menangis. Kasih ibu memang tidak boleh dipertikaikan. Senakal manapun anak tidak akan sampai hati membiarkan keseorangan menangis berpanjangan. Betullah kata-kata pepatah " kasih ayah semasa ada, kasih ibu sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga ".

Kisah 3 :

Punca air untuk makan minum dan mandi zaman kami kecil-kecil dulu hanya perigi. Dengan menggunapakai tin biskut dan baldi aluminium ( ayan ) kami menimba air untuk diangkut ke atas rumah kayu bertiang atau ditakungkan di bilik mandi untuk kegunaan keluarga.  Biasanya kami yang kecil-kecil tidak dibenarkan bersendirian di bilik mandi yang mengepung telaga berkenaan bimbang ditimpa apa-apa musibah. Selalunya kami mandi manda bersama orang-orang dewasa. Pada satu hari hendak dijadikan cerita, kakakku yang agak degil masa berumur belasan tahun pada waktu tengahari pergi bersendirian ke telaga tanpa pengetahuan ibu untuk mandi. Masa dia menimba air perigi yang agak dalam juga pada masa itu, entah macamana kakinya telah tersangkut pada tali timba yang membelitnya dan menarik kakakku ke dalam perigi semasa timba dicampakkan ke bawah. Apa lagi tercungaplah dia dalam perigi itu. Bayangkanlah walaupun dia ada asas berenang di sungai tetapi perigi yang saiznya tidaklah besar, agak menyukarkannya untuk berenang atau mengapungkan diri sementelahan pula tidak begitu mahir berenang. Nasib baik arwah bapa saudara yang rumahnya berhampiran perigi tersebut mendengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air. Pada mulanya disangkakan buah kelapa atau  mungkin durian yang jatuh. Naluri orang dewasa yang berprasangka ada sesuatu tidak baik berlaku telah menyebabkan arwah bapa saudara menjenguk ke perigi dan sempat melihat kakak tercungap-cungap dalam air. Beliau pun dengan segera melaungkan insiden kakak jatuh ke dalam perigi itu. Serta merta seperti biasa berkerumunlah jiran tetangga dan saudara mara berhampiran rumah di sekeliling perigi tersebut untuk membantu menaikkan kakak yang sedang diselamatkan oleh bapa saudara yang telah turun ke dalam perigi. Sebenarnya perigi itu tidak dikelilingi oleh batu simen tetapi sekadar perigi tanah liat yang di tempat-tempat tertentu ditumbuhi pohon renek yang boleh dipautkan tangan di situ. Jadi mudahlah sikit kerja menyelamatkan kakak yang hampir tenggelam. Dengan menarik rambutnya yang agak panjang waktu itu, kakak didukung naik ke atas. Mungkin ada yang menurunkan tali panjang dan lebih kuat ( rasanya tidak mungkin tangga sebab perigi agak dalam dan belum ada tangga panjang atau berlipat yang boleh dipanjangkan ikut kesesuaian keadaan ) ke dalam perigi untuk memudahkan penyelamat membawa kakak yang hampir pengsan naik ke atas dan membantu arwah bapa saudara naik semula. Selepas diselamatkan kakakku melalui sesi pertolongan cemas bagi mengeluarkan air yang telah tertelan dengan cara menonggeng kepalanya ke bawah supaya air dapat keluar.. Dengan asas pertolongan cemas yang dimiliki oleh orang dewasa sedemikian  kakakku terselamat daripada lemas. Alhamdulillah.......

Kisah 4 :

Semasa bermain bersama rakannya di kebun ubi kayu di seberang jalan rumah kami, kakak masa remajanya hampir tertembak dek senapang patah milik arwah bapa saudara yang menyelamatkannya semasa jatuh perigi. Arwah bapa saudara tidak tahu mereka bermain di sana sebab tidak dimaklumkan oleh sesiapa pun. Arwah menyangka ada babi hutan yang menyondol pokok-pokok ubi kayu di kebun itu maklumlah persekitaran kampung masa itu dipenuhi semak samun. Nasib baik arwah hanya sempat mengacukan senapang tetapi tidak sempat membidiknya, kerana dinasihati oleh arwah nenek supaya meninjau dulu samada binatang atau manusia yang bergerak-gerak di kebun itu. Yang mencemaskan lagi kakak dan kawannya itu tidak sedar langsung keriuhan akibat perbuatan mereka sebaliknya asyik bermain di celah-celah pokok ubi yang agak padat juga tumbuhnya. Sebenarnya hikmah di sebalik kejadian itu ialah kita mesti berusaha mempastikan sesuatu benar-benar selamat sebelum mengambil apa-apa tindakan. Kita mestilah percaya bahawa dengan izin dan kehendak Allah swt jua segala kejadian akan menjadi mengikut kemahuanNya seperri ayat dalam Al-Quran yang saya ingat begini " Jika Aku mahu sesuatu menjadi, maka menjadilah ia ...." Berdoalah memohon kepada Allah swt kita dilindungi dan dirahmatiNya. Aminnn.....

Itulah antara beberapa insiden yang berkesan di jiwa dan tidak akan terlupakan oleh kami semua sehingga sekarang. Pengajaran yang terkandung di dalamnya memanglah banyak. Kita orang dewasa sepatutnya memahami jiwa kanak-kanak dan memenuhi tuntutan mereka secara berhemah. Anak-anak kecil perlu dipujuk dan dinasihati secara berhikmah apabila memberontak dan hukuman adalah sebagai langkah akhir untuk menyedarkannya daripada melakukan kesalahan serta mendisiplinkan mereka supaya patuh pada peraturan dan ajaran orang dewasa di masa-masa akan datang.  Didikan agama dan moral di samping kasih sayang amatlah penting diterapkan semenjak kanak-kanak masih kecil lagi bagi membolehkan mereka menjadi orang dewasa yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Seperkara lagi, untuk pengetahuan pembaca budiman sekelian, anak-anak generasi selepas kami tidak ada yang melalui insiden sedemikian. Perubahan masa membawa kehidupan yang lebih selesa dan asuhan yang terkawal dan terancang, memungkinkan insiden mendebarkan seperti itu tidak pernah berulang lagi. Selain daripada itu setiap manusia ada takdir dan nasibnya yang tersendiri yang unik atau khas untuk dirinya sahaja yang telah ditentukan Allah swt semenjak azali lagi. Sudah tentulah pengalaman kita masing-masing berbeza. Subhanallah.....

Demikianlah nukilan dan renungan di sebalik semua kejadian yang berlaku........

Saturday, 9 November 2013

PULANG....




Foto ini menggambarkan aktiviti dalam bas ketika perjalanan menuju Lapangan Terbang Beijing pada 27.10.2013 selepas selesai makan malam dan solat jamak di Restoren Padang pada 20.09. Kelihatan Hani memberikan ucapan dan menyanyi bersama anggota rombongan sebagai hiburan mengisi masa terluang. Antara persembahan nyanyiannya ialah lagu " Rasa Sayang Hei, Geylang Si Paku Geylang, lagu China "



                                            


Uztaz Tan Ibrahim dengan aktiviti nyanyian nasyid, pantun, doa dan ucapan balas ditujukan kepada tour guide.


Ini pula keadaan semasa menunggu pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Beijing mulai jam 20.58 selepas semua bagasi ditimbang dahulu bagi mempastikan tidak melebihi had berat 20 kg seorang. Jika terjadi demikian, kenalah menumpang kumpulan bagasi yang rendah timbangannya. Alhamdulillah semua bagasi anggota rombongan kami melepasi pemeriksaan mulai 1.00 pagi. Begitu juga dengan pemeriksaan Imigresen walaupun ada anggota yang diminta membuka tudung labuh, jaket dipakai, mengeluarkan payung dibawa dan sebagainya semasa pemeriksaan.

Dengan penerbangan Air Asia D7 317, kami terbang pulang jam 2.30 pagi pada 28.10.2013 dan tiba di LCCT Sepang lebih kurang jam 8.30 am. Alhamdulillah.



Selepas itu dengan bas East Coast Holidays kami bertolak balik ke Kuantan mulai jam 9.00 pagi. Dalam perjalanan balik kami singgah di R & R Temerloh untuk solat dan makan tengahari yang dibiayai oleh Puan Pengerusi Koperasi selaku ketua rombongan. Terima kasih. Kami tiba di rumah lebih kurang 4 petang dengan selamatnya. Alhamdulillah............Home Sweet Home......Yeh........


KEMBARAANKU DI BEIJING 4

 HARI 4 ( 27.10.2013, Ahad )

Selamat tinggal dan terima kasih pada hotel, kalau tak silap Tai Shun Business Hotel jam 8.13 am. Yang pandai membaca tulisan Bahasa China di papan tanda hotel itu betulkan sendirilah ya.  Kami bertolak selepas bersarapan di Restoren Halal di sebelah hotel tersebut yang setiap pagi dikunjungi mulai jam 6.30 - 7.30 am. Seperti cerita di posting terdahulu, kami terpaksa check out awal untuk meneruskan pengembaraan dan terus berangkat pulang selepas acara lawatan berakhir untuk menjimatkan masa perjalanan dan sebagainya.                                                                                                                                                         
Jam 9.05 am kami telah berada di Bilik Taklimat Fresh Water Pearl Centre di bangunan Kompleks Sukan, untuk mendengar penerangan yang diberikan oleh Manager yang masih muda belia bernama Yan Yu yang berumur sekitar 20 tahun.







Hjh Rubiah mengucapkan tahniah kepada Tuan Muda Yan Yu yang kebetulan pada hari itu sedang meraikan Hari Ulangtahun Perkahwinan ibu bapanya dan berjaya menyampaikan taklimat tentang Pearl ( Mutiara ) terutama cara-cara mengenali mutiara tulen dan palsu. Yang tulen apabila 2 biji mutiara digosok antara satu sama lain akan mengeluarkan rasa kasar dan debu sementara yang palsu tidak sedemikian.












Yan Yu menerangkan ada aneka warna pearl di kedainya iaitu putih, perang, kuning, hitam seperti yang di tangannya. Yang di sebelah tu pun menunjukkan minat.....















Posing beramai selepas puashati membeli dengan harga mampu beli....sekitar 11.04 am
Kak Nah sedang memperaga sesuatu di jarinya....Di dalam cermin aneka hiasan pearl.....










12.01 kami makan tengahari di Xinjiang Muslim Restaurant seperti cerita posting terdahulu.
Dalam perjalanan keluar restoren jam 12.26 sempat merakam gambar penjual pelbagai jenis makanan  kuaci matahari seperti depang / bepang.












Abidah sempat pula meneliti bunga yang ditanam di tepi jalan menghala restoren
Selepas Solat di Masjid Nan Dou Ya 13.20, kami bergambar bersama Tuan Imam "Ibrahim" berhampiran kotak derma amal jariah yang disediakan.
Jam 13.40 kami berada di Tea House untuk mendengar taklimat oleh Mindy tentang kehebatan minum teh kepada kesihatan dan kecantikan diri sambil menikmati pelbagai jenis teh China seperti berikut :

1. White Tea
2. Old Puerh Tea
3. Oriental Beauty ( The King Of Oolong Tea )
4. Jasmine Tea
5. Litchi Tea ( Black Tea )
6. Tian Qi Flower

                                                                          

Yang masih berbaki wang berbelanja sakan di sini.   Yang sudah tipis bekalan balik tanpa membawa apa-apa buah tangan dari sini.       Hu! Hu!Hu!                                                                            








Jam 14.30 kami bertolak ke Hong Qiao Pearl Market  di Tian Tan Lu Street yang papan tandanya ada tulisan rumi. Yang tidak mahu shopping lagi memutuskan berehat dalam bas yang diletak di kawasan parkir yang agak jauh daripada supermarket itu, sambil memerhatikan gelagat penduduk yang lalu lalang terutama pasangan muda mudi. Dato' Khatijah salah seorang peserta rombongan yang tertua, memberi pandangan bahawa pasangan sedemikian tidak ada yang menunjukkan perlakuan tidak bermoral sepanjang pemerhatian beliau yang kerap tinggal dalam bas semasa kami yang lain berurusan membeli belah atau bergambar di tempat bersejarah kerana masalah kesihatannya.

Kemudian kami ke Ya Show Clothing Supermarket dan berada di sana sekitar jam 17.00 hingga 18.00, tetapi tidak berbelanja pun kerana telah kehabisan " reserve money"  akibat perancangan money planner yang agak lemah. Hu! hu! hu! Lagi pun tiada yang sesuai untuk dibeli lagi. Satu yang ketara tiada tanda harga dilekatkan pun pada setiap produk jualan yang dipamerkan.

Akhir sekali kami singgah makan dan solat di Restoren Padang jam 19.03 seperti cerita dalam posting Menu Makanan Muslim Di Beijing.

Gambar di sebelah ini diambil jam 19.40 di restoren tersebut selepas makan dan bersiap sedia untuk bersembahyang. 

Waktu Solat Maghrib di Beijing hari itu ialah 18.22, Isya' 19.48. Memandangkan waktu Maghrib telah hampir luput kami pun memutuskan untuk Solat Jamak Ta'khir. Terngiang pula kata-kata ilmuan agama yang menyarankan sebaiknya makan dulu sebelum solat supaya solat lebih khusyuk. Entahlah. .Maaf bukan selayaknya saya menyebut peraturan tentang bab agama kerana bukan bidang saya.. sekadar pandangan sahaja.....